Adakah Membunuh Diri Jalan Singkat Menyelesaikan Masalah? Apakah Hukumnya Dari Sudut Pandang Islam?

“Aku sudah penat hidup di dunia ini. Apa gunanya aku hidup jika hanya membebankan diri lebih baik aku bunuh diri sahaja.”

0
17872

“Aku sudah penat hidup di dunia ini. Apa gunanya aku hidup jika hanya membebankan diri lebih baik aku bunuh diri sahaja.”

“Pelbagai masalah yang timbul, tiada sesiapa memahami aku lebih baik aku bunuh diri sahaja”.

Kecewa, sedih, kemurungan, stress, tekanan perasaan, kesunyian antara punca yang menyebabkan seseorang mengambil jalan pintas untuk menamatkan riwayat hidup. Di dalam islam, perbuatan membunuh diri termasuk di dalam kesalahan dosa-dosa besar.

National Suicide Registry Malaysia (NSRM) menganggarkan hampir 500 kematian bunuh diri dicatatkan dengan purata 60 kes setiap bulan. Kementerian kesihatan melaporkan dan mengenal pasti belia yang berumur linkungan 16-25 tahun berisiko tinggi untuk membunuh diri.

Fenomena ‘invisible disease’ ini semakin membarah dalam kalangan masyarakat kita sekiranya tidak dibendung dari sekarang. Statistik di atas jelas menunjukkan kes bilangan membunuh diri makin meningkat setiap tahun. Kebanyakan kes melibatkan lelaki, mereka membunuh diri dengan menggantungkan diri atau terjun bangunan. Manakala perempuan lebih cenderung menelan ubat-ubatan secara berlebihan atau menelan racun tikus atau racun rumpai.

Abu Hurairah r.a merekodkan daripada Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya dia akan terjun ke dalam neraka Jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam genggamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka Jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada di dalam genggamannya, dia akan menikamnya di perutnya di dalam neraka Jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya”. (Hadith Abu Hurairah r.a. ini direkodkan dalam Sahih Bukhari, kitab At-Tib, No hadith 5778)

Jelas sekali, hadith di atas menerangkan larangan membunuh diri dan azab bagi sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu, dia akan di azab dengan sesuatu itu di dalam neraka Jahannam.

Membunuh diri bukanlah jalan singkat untuk menyelesaikan masalah. Malah, Allah s.w.t. menyuruh kita untuk berusaha menghadapi tribulasi kehidupan dan keluar daripada segala masalah. Setiap kerumitan dan kepayahan pasti ada ganjaran disisi-Nya dan Allah s.w.t tidak akan membebankan hamba-Nya diluar kemampuan hamba-Nya.

“Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”. (Surah Al-Baqarah: ayat 286)

Penulis ada sertakan link 5 tip seorang muslim ketika menghadapi kesusahan dan krisis dalam kehidupan. 

Kesimpulannya, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Kita sebagai seorang muslim harus percaya setiap kesabaran ada ganjaran disisi-Nya.