Kiamat Mungkin Lambat Lagi, Kiamat Kecil Kita Bagaimana Pula Persiapannya?

0
7406

Tahukah anda kita akan mengalami dua kiamat? Kematian kita juga dinamakan kiamat iaitu kiamat kecil. Kita seringkali didedahkan dengan tanda-tanda kiamat besar. Namun, sedarkah kita kedua-dua kiamat ini berada di luar pengetahuan kita?

Kebanyakan daripada manusia mengakui adanya kiamat yang bakal memusnahkan bumi yang kita diami namun ramai yang tidak mula membuat persiapan untuk meninggalkan dunia yang sementara ini. Mereka begitu leka dengan perkara-perkara duniawi yang bersifat fana kerana fokus dengan hambatan dunia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Apabila nafas (seseorang) telah sampai ke kerongkong, dan dikatakan kepadanya, “Siapakah yang dapat menyembuhkan?”. Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dan bertaut betis kiri dan betis kanan, kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dikembalikan.”

(Surah al-Qiyamah, ayat 26-30)

 

Pada ketika nafas sedang dileraikan dari jasad seseorang, alam dunia sudah tidak berguna lagi padanya. Persiapan yang perlu dilakukan oleh seseorang manusia ketika di dunia amat banyak.

Pertama, memperbanyakkan taubat dan istighfar kepada Allah s.w.t. Seseorang hamba setiap hari akan ditimbuni dosa sama ada sengaja dilakukan mahupun tidak disedari. Justeru, tuntutan supaya sentiasa bertaubat dan beristighfar itu sentiasa digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. masih menerima taubat hamba-Nya sebelum rohnya sampai ke kerongkong”

(Hadith direkodkan oleh at-Tirmizi)     

Diriwayatkan bahawa Rasulullah yang bersifat dengan maksum (terpelihara dari dosa) akan beristighfar sebanyak 70 kali setiap hari. Bagiamana pula dengan kita? Peluang yang Allah datangkan amat banyak untuk kita. Justeru, sentiasalah beristighfar dan bertaubat dengan kepada Allah supaya urusan kematian kita kelak dipermudahkan-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud :

“Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa”.

(Hadith direkodkan oleh Ibnu Majah)

Kedua, sentiasa bersedekah kepada orang yang memerlukan.

Cara-cara bersedekah adalah pelbagai. Perkara yang paling utama dalam bersedekah adalah meletakkan ikhlas dalam amalan tersebut. Hata yang diwakafkan seperti perpustakaan, masjid, tanah, kebun dan sebagainya untuk manfaat semua ummah tidk terkecuali dari ganjaran apabila kita melaksanakannya dengan sifat ikhlas.

Ganjaran pahala harta yang dimanfaatkan oleh orang lain akan berkekalan walaupun jasad telah diratah oleh bumi.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

(Hadith direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, menuntut ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang dapat dimanfaatkan maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.

Ilmu yang pelbagai seperti syarahan, penulisan kitab atau artikel, akhbar atau majalah serrta perkara-perkara lain yang bersifat mendidik umah ganjarannya akan berkekalan selagi adanya individu yang memanfaatkannya. Justeru, kita haruslah sentiasa menuntut ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri atau orang lain supaya itu menjadi persiapan berguna sebelum menjelang ‘kiamat kecil’.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :

“Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayah, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun”.

(Hadith direkodkan oleh Imam Muslim)

Kesimpulannya, persiapan untuk kiamat kecil perlu diutamakan kerana kematian akan berlaku pada bila-bila sahaja. Kiamat kecil adalah jemputan yang pasti  sebelum melangkah ke arah alam barzakh. Penulis ingin menasihati diri dan pembaca supaya mengambil semua yang menjadi manfaat kepada kita agar usurusan ‘kiamat kecil’ berlangsung dengan tenang.