Kesihatan dan Pemakanan, Satu Sudut Pandangan Organisasi dan Agama (Siri 2)

Jika makanan itu adalah makanan ruji kita dan bukan kebiasaan bagi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, tidak mengapa.

454
1403

Pada Siri 1, kita sudah lihat pandangan organisasi tentang pemakanan dan kesihatan. Kali ini kita lihat pula apa pandangan dari sudut agama.

Dari sudut pandang kita sebagai seorang Muslim, pemakanan dan amalan gaya hidup Rasulullah s.a.w. boleh dijadikan panduan oleh masyarakat untuk mencapai kesihatan yang baik. Walaupun budaya pemakanan Rasulullah s.a.w. berbeza dengan kita di Malaysia, namun baginda menggariskan panduan yang boleh diikuti oleh seluruh umat.

Yang pertama, asas utama adalah makanan yang diambil itu mestilah bukan dalam kategori yang haram. Malah mesti makanan yang baik. Jika makanan itu adalah makanan ruji kita dan bukan kebiasaan bagi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, tidak mengapa. Apa yang penting adalah makanan tersebut baik kandungannya dan tiada larangan ke atasnya. Justeru, makanan itu juga boleh dikategorikan sebagai makanan yang baik dan bermanfaat.

Individu yang mengamalkan pengambilan arak dan alkohol adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan.

Firman Allah s.w.t,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah Al-Maidah, ayat 90)

Dalam agama, diharamkan arak dan perkara memabukkan kerana perkara itu selari kepada terjejasnya kesihatan tubuh dan mental seseorang individu. Islam bersikap tegas dalam permasalahan arak, sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Setiap yang memabukkan itu adalah haram”
(Direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, kitab Al-Asyribah, bab Al-Khamru min Al-‘Asal Wahuwa Al-Bit’u, no hadith 5585, daripada Aisyah, status hadith sahih)

Di samping itu, Nabi s.a.w. tidak hanya memberi amaran kepada peminum arak, malah Nabi memberi amaran laknat ke atas sepuluh kategori manusia yang berkait dengan arak.

Rasullullah s.a.w. melaknat 10 golongan yang terlibat di dalam arak:
1. Orang yang memerahnya (arak) iaitu pembuatnya.
2. Orang yang meminta diperahkan (arak) iaitu pengedarnya.
3. Orang yang meminum arak.
4. Orang yang membawa arak.
5. Orang yang minta dihantarkan arak.
6. Orang yang menuangkan arak.
7. Orang yang menjual arak.
8. Orang yang membeli arak.
9. Orang yang makan hasil jualan arak.
10. Orang yang minta dibelikan arak.
(Direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, kitab Al-Asyribah, bab Lu‘inati Al-Khamru ‘Ala ‘Asyarati Aujuh, no hadith 3380, daripada Ibnu Umar, status hadith disahihkan oleh Albani)

Oleh yang demikian, aspek pemakanan yang dianjurkan oleh Nabi SAW untuk menjamin kesihatan kita adalah dengan menjauhi arak, alkohol dan pemakanan yang boleh memabukkan dan haram.
Memupuk nilai kesedaran tentang pengaruh pemakanan terhadap kesihatan kita adalah satu tanggungjawab yang amat besar. Disebabkan itu, pendidikan awal harus diberikan oleh terhadap komuniti yang kecil terlebih dahulu.

Kesedaran ini akan tumbuh menjadikan komuniti yang besar. Seterusnya mereka akan faham tentang konsep pemakanan yang baik yang mempengaruhi kesihatan dengan lebih sempurna.
Bukan itu sahaja, ibu bapa seharusnya menjadi guru dan contoh yang terbaik untuk memastikan amalan pemakanan sihat wujud dalam keluarga. Ibu bapa juga perlu menjadi pembimbing kepada anak-anak dalam menuju gaya hidup sihat dan bersederhana dari aspek pemakanan.

Secara kesimpulannya, agama dan organisasi yang berkaitan memandang pemakanan adalah keutamaan dan kepentingan yang besar yang akan mempengaruhi tahap kesihatan kita. Berusahalah menjaga kesihatan kerana itu bukan sahaja saranan organisasi semata-mata, malah itu juga adalah tuntutan besar dalam agama.

Wallahu‘alam.

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here