Rahsia Di Sebalik Masjidil Haram Yang Mungkin Anda Tidak Tahu (Siri 2)

Daripada Jabir r.a, Rasulullah s.a.w. menyatakan; “Sekali solat di masjidku (Masjidin Nabawi) lebih afdal daripada 1,000 kali solat di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram pula lebih afdal daripada 100,000 kali solat di masjid-masjid yang lain.

41
23887

Daripada Jabir r.a, Rasulullah s.a.w. menyatakan; “Sekali solat di masjidku (Masjidin Nabawi) lebih afdal daripada 1,000 kali solat di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram pula lebih afdal daripada 100,000 kali solat di masjid-masjid yang lain. (Hadith direkodkan oleh Imam Ahmad, Kitab Musnad Ahmad, No 14694)

Hadith di atas menerangkan kelebihan solat di Masjid Nabawi dan solat di Masjidil Haram. Pada perkongsian lepas, penulis telah berkongsi rahsia di sebalik Masjidil Haram. Kali ini, penulis ingin berkongsi dengan perkongsian yang lebih menarik tentang Masjidil Haram. Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke masjid suci ini pasti perasaan ingin ke sana membuak-buak dan bagi yang sudah mengunjungi pasti merindui tempat mulia ini.

  1. Tahukah anda, kiswah Kaabah pada asalnya bukan berwarna hitam.

 

Kiswah Kaabah yang kita lihat sekarang adalah berwarna hitam. Tetapi pada awalnya, kaabah langsung tidak menggunakan kiswah. Walau bagaimanapun, bahan pertama yang digunakan untuk menutup Kaabah ialah kulit unta. Seorang nenek moyang Quraisy, Adnan bin Ad yang ditugaskan untuk menutup Kaabah.

Penggunaan kiswah dalam Islam bermula pada pembukaan kota Makkah.  Pada tahun 632M kain kiswah pernah dibakar oleh wanita Quraisy, lalu Rasulullah s.a.w menutup Kaabah dengan kain putih yang berasal dari Yaman.

Pada zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin pula kiswah digunakan dengan kain diperbuat dengan benang kapas. Kiswah pertama yang diperbuat kain tenun dari yaman berwarna merah dan berjalur-jalur.

Pada zaman Khalifah Al-Makmun Ar-Rasyid (813-833M), kiswah Kaabah ditukar setahun 3 kali dengan warna yang berbeza-beza kuning, putih, hijau dan hitam. Pada zaman khalifah Nasir Abbasiyyah (1180-1225M) kiswah diganti dengan warna hijau. Khalifah seterusnya membuat keputusan memilih warna hitam disebabkan kiswah Kaabah yang yang sering berganti warna. Tradisi pemilihan warna hitam digunakan sehingga ke hari ini.

Kesimpulannya, kiswah Kaabah pernah berwarna putih, kuning, merah, hijau sebelum ditetapkan warna hitam diguna pakai sehingga ke hari ini. Kita dapat simpulkan juga disini, kiswah kaabah berganti warna mengikut warna bendera dan kebijaksanaan pemerintah yang berkuasa pada waktu itu. Kini, kiswah ditukar setiap tahun pada 9 zulhijjah.

 

  1. Makam Nabi Ibrahim a.s bukan kubur?

Makam Nabi Ibrahim bukanlah kubur Nabi Ibrahim a.s, tetapi berupa batu tempat pijakan Nabi Ibrahim a.s ketika membina Kaabah. Seperti firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 127;

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas Baitullah itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui;”

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya Nabi Ismail a.s telah membina Kaabah tempat beribadah kepada-Nya. Pada awalnya, makam Ibrahim menempel di dinding Kaabah. Namun, pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab r.a, makam ini ditempatkan 14 meter ke arah timur. Kemudian pada pemerintahan khalifah Al-Mahdi Al-Abbasi pada tahun 775-785M atas perintah khalifah di sekeliling makam Nabi Ibrahim a.s ditutupi dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung.

 

  1. Anda patut tahu, hajar aswad asalnya berwarna putih.

Hajar Aswad adalah perkataan bahasa arab, maksudnya ialah batu hitam. Hajar Aswad terletak di sisi tenggara Kaabah iaitu tempat bermula dan berakhirnya posisi tawaf. Batu ini diletakkan 1.5 meter di atas tanah Masjidil Haram dibingkai dengan perak setebal 10 cm.

Pada awalnya batu Hajar Aswad berwarna putih tetapi kerana dosa-dosa anak Adam ia bertukar menjadi warna hitam. Sesuai dengan hadith yang direkodkan oleh Imam Tirmizi.

Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah s.a.w bersabda: “Hajar Aswad turun dari syurga, warnanya lebih putih daripada susu. Dosa-dosa anak Adamlah yang menjadikannya hitam. (Hadith direkodkan Imam Tirmizi, Kitab Sunan Tirmizi, No 877, Status Hadith: Hasan Sahih)

Akhir sekali, sejak Kaabah dibangunkan oleh nenek moyang manusia sehingga saat ini seharusnya menjadi pelajaran kepada umat manusia. Malah Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah s.w.t supaya menjadikan bumi Makkah negeri yang aman. Doa ini dinukilkan di dalam surah Ibrahim, ayat 35;

“Dan ingatlah tatkala Nabi Ibrahim berdoa: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari menyembah berhala.”

Comments are closed.