5 Sebab Mengapa Suami Curang dan Jatuh Hati dengan Rakan sendiri!

224
1987

Rumah tangga merupakan satu permulaan untuk membina generasi umat sejagat. Dalam pasangan, masing-masing perlu memainkan peranan yang sewajarnya. Namun begitu, pergolakan dalam rumah tangga ada kalanya sinonim dengan norma masyarakat millenia ini. Kes penceraian semakin hari semakin meruncing. Statistik menunjukkan 6 bulan pertama tahun 2016, sebanyak 48,077 kes penceraian dicatatkan atas beberapa faktor. Kesetiaan amat penting dalam memastikan hubungan antara pasangan berkekalan. Faktor utama yang menjadi polemik masyarakat melayu pada hari ini adalah kecurangan dalam perkahwinan. Apabila diteliti, banyak sebenarnya faktor yang membawa kepada fenomena ini kebanyakannya di pihak suami. Di bawah ini terdapat 5 sebab suami boleh curang dan jatuh hati dengan rakan sendiri.

Allah s.w.t. menyatakan:

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahmi. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

(Surah an-Nisaak, ayat 1)

  1. Masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri.

Firman Allah s.w.t. di atas amat jelas menunjukkan kepada kita galakan agama supaya kita hidup berpasangan. Namun, faktor mata pencarian ekonomi dalam menguruskan rumah tangga tidak selayaknya untuk diambil enteng. Disebabkan itulah kebanyakan pasangan bekerja dengan gigih untuk menampung perbelanjaan isi rumah. Scenario ini lebih jelas dilihat apabila pasangan tinggal di kawasan bandar. Sedar ataupun tidak, kesibukan ini lah menjadi punca terbesar terbengkalainya institusi kekeluargaan khususnya kes curang dalam rumah tangga.

Kita boleh membayangkan jika waktu bekerja sesama pasangan berbeza 360 darjah. Sudah pasti apa yang bakal kita lihat, seseorang suami akan cuba untuk mencari tempat untuk mengadu segala hal kepada wanita lain yang lebih rapat dengannya. Apabila kita sedar tentang kesibukan yang dialami dari kedua-dua belah pihak, suami mahupun isteri perlulah saling membantu dalam menguruskan perihal rumah tangga.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda :

عَنِ الْأَسْوَدِ ، قَالَ : سَأَلْتُ عَائِشَة ، مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ ؟ قَالَتْ : ” كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ ، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Al-Aswad berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah radiallahu ‘anha: Apa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lakukan di rumahnya? Beliau menjawab: Baginda membantu berkhidmat menguruskan urusan keluarga. Apabila masuknya waktu solat, baginda keluar mendirikan solat [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, hadis no: 638]

  1. Kurangnya masa bersembang bersama.

Hal ini juga menjadi kebiasaan bagi pasangan yang sibuk.  Secara zahirnya, apabila wujud sesi perkongsian antara suami isteri dengan kerap, kes curang pasti tidak akan berlaku. Hal ini kerana, komunikasi yang baik adalah amat penting dalam rumah tangga. Lebih-lebih lagi pasangan yang bari membina ‘masjid’ bersama. Apabila masa dilapangkan untuk saling mendengar luahan hati masing-masing, susasana bahagia akan dirasai.

Namun, perkara yang sebaliknya berlaku dalam rumah tangga akan mendorong kepada ketidak serasian dan sentiasa berlaku salah faham dalam kalangan pasangan. Masa bersembang yang sepatutnya menjadi ruang untuk berkongsi masalah, mendapatkan nasihat bagi sesuatu perkara sewenang-wenangnya terus berpindah kepada insan lain yang tidak sepatutnya. Mereka dikenali sebagai orang ketiga.  Kesannya, si isteri akan mendapati sang suami jarang berada di rumah.

Perkara yang lebih utama dari semua itu adalah sentiasa bersyukur dan membesarkan keagungan Allah. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,

“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”

(Surah az-Zariyat 51, ayat 49)

  1. Kurangnya keperihatinan dari isteri.

Tidak dapaat dinafikan juga, sang isteri kurang bijak untuk membahagikan masa bersama keluarga. Lebih-lebih lagi kepada sang suami. Peruntukan masa untuk menjaga kebajikan cenderung kepada anak-anak sahaja, tidak mustahil suami akan menghiburkan hatinya dengan mencari peneman. Begitulah fenomena yang nyata berlaku pada hari ini. Fitrah kelelakian ang ada pada suami akan mudah berpaling kepada wanita lain dan besar kemungkinan juga kepada rakan sendiri. Hal ini kerana adakalanya kawan baik yang berlainan jantina lebih sesuai untuk berkongsi masalah.

Dalam pasangan, perkara yang perlu dititikberatkan adalah saling memahami antara satu sama lain. Allah s.w.t. menyatakan:

“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur (mengingkari) pula akan nikmat Allah?”                                                                                                                                    (Surah an-Nahl, ayat 72)

  1. Isteri sentiasa mendambakan kemewahan.

Material pada dasarnya bukanlah ukuran untuk kekal bahagia dengan orang tersayang. Kemewahan adalah impian kedua selepas kebahagiaan. Namun, kebanyakan wanita atau isteri lebih mendambakan kemewahan materialistik menyebabkan ia menjadi satu desakan kepada sang suami untuk memenuhinya. Lama-kelamaan suami merasakan situasi tersebut memberi satu tekanan kepadanya. Tekanan ini menjadi penyebab tersembunyi untuk menjemput orang ketiga ke rumah mereka. Justeru, bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku, isteri perlu bersederhana dalam segala perkara lebih-lebih lagi berkaitan kemewahan materialistik.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana)”

(Hadith riwayat Baihaqi)

 

  1. Dianggap sebagai cara melepaskan kebosanan.

Peranan isteri dalam menjadi qudwah hasanah untuk suami tidak dinafikan lagi. Namun, tidak dinafikan juga sikap suami yang senang berpaling dari isteri tanpa sebab yang munasabah. Suami akan mudah menjemput orang ketiga dengan alasan bosan. Alasan tersebut boleh jadi akibat sikap suami yang sentiasa inginkan kesempurnaan dari seorang wanita sehinggakan sanggup berlaku curang kepada isterinya. Oleh itu, isteri perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ini lebih-lebih lagi sentiasa mengambil tahu perihal suami kita. Sedangkan Allah telah berfirman dalam surah ar-Rum yang berbunyi:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.  ”  (Surah ar-Rum 30, Ayat 21)

Kesimpulannya, setiap masalah dalam rumah tangga perlu ditangani dengan tindakan pemikiran yang rasional kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri. Isu curang boleh dielakkan sekiranya isteri mempunyai ‘pendinding’ sepatutnya. ‘Pendinding’ dalam erti kata di sini bermaksud isteri perlu bijak dalam menguruskan hal peribadi suami khususnya susunan jadual harian suami. Akhir sekali, teruskan berdoa supaya rumah tangga kita sentiasa dilimpahi dengan kebahagiaan dan keberkatan tanpa masalah dengan orang ketiga.

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here