Rahsia Di Sebalik Masjidil Haram Yang Mungkin Anda Tidak Tahu (siri 1)

Seperti yang kita tahu, Masjidil Haram terletak di Makkah dan ia adalah tempat umat Islam melaksanakan ibadah haji dan umrah. Saban tahun, Makkah menjadi tempat tumpuan umat Islam. Tetapi mungkin kita tidak tahu rahsia di sebalik Masjidil Haram.

44
4672

Seperti yang kita tahu, Masjidil Haram terletak di Makkah dan ia adalah tempat umat Islam melaksanakan ibadah haji dan umrah. Saban tahun, Makkah menjadi tempat tumpuan umat Islam. Tetapi mungkin kita tidak tahu rahsia di sebalik Masjidil Haram.

Pada asalnya, bumi Makkah adalah padang pasir gersang, lembah yang sunyi, tiada tumbuhan dan sumber air. Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim a.s bersama isterinya Hajar dan putera sulung mereka yang masih bayi, Nabi Ismail a.s telah membangunkan peradaban baru. Mereka juga membangunkan tempat beribadah yang kini dikenali sebagai Kaabah.  Allah s.w.t memerintahkan Nabi Ibrahim a.s menyeru manusia supaya melaksanakan ibadah haji yang kemudiannya, menjadi proses ibadah turun-temurun sehingga akhir zaman.

Maksudnya: Dan serulah umat manusia untuk Haji, mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta, yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh. (Surah Al-Hajj, ayat 27)

  1. Tahukah anda, nama lain bagi Makkah ialah Bakkah seperti yang disebut di dalam surah Ali-Imran ayat 96:

Maksudnya: Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di (Bakkah) Mekah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Ayat diatas juga menerangkan bahawa Kaabah juga adalah rumah ibadat yang pertama dibina untuk manusia beribadah kepada-Nya.

  1. Tahukah anda hanya Bani Syaibah yang ditugaskan menjadi juru kunci sehingga kini.

Sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kini, Bani Syaibah telah ditugaskan untuk memegang kunci Kaabah dan orang yang paling tua dikalangan Bani syaibah diamanahkan untuk menjadi juru kunci Kaabah. Orang pertama yang memegang kunci Kaabah ialah Usman Bin Talha. Ketika pembukaan kota makkah, juru kunci memang pada asalnya dipegang oleh Bani Syaibah kemudian Abbas bin Abdul Mutalib merampas kunci tersebut kerana beliau enggan menyerahkan kunci itu. Lalu turun ayat Al-Quran surah An-Nisa’, ayat 58;

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya,”

Berdasarkan ayat ini, Rasulullah s.a.w menyuruh mengembalikan semula kunci tersebut dan meminta sahabat yang merampas kunci itu memohon maaf. Mendengar permohonan maaf yang tulus daripada sahabat itu, lalu Usman Bin Talha memeluk Islam.

Juru kunci Kaabah sekarang ialah Dr Saleh bin Talha Al-Shaibi. Beliau merupakan ahli keluarga tertua menggantikan Sheikh Abdul Qadir Al-Shaibi yang meninggal pada 23 Oktober 2014.

  1. Tahukah anda, Baitul Makmur masjid di atas langit ketujuh bertentangan di atas Kaabah.

Baitul Makmur disebut di dalam Surah At-Thur, ayat 4-6;

Maksudnya: “Dan demi Baitul Makmur;(4) Dan demi bumbung yang tinggi;(5) Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan); (6)”

 

Baitul Makmur adalah Kaabah di langit ke tujuh tempat malaikat beribadah seperti mana yang disebut di dalam hadith, ketika Rasulullah s.a.w menceritakan peristiwa Israk Mikraj. Lalu aku melihat Baitul Makmur. Akupun bertanya kepada Jibril: “Ini adalah Baitul Makmur, setiap hari, tempat ini dikunjungi 70.000 Malaikat untuk melakukan solat di sana. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan kembali lagi ke tempat ini.” (Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari, Kitab Sahih Bukhari, No 3207)

Dalam kitab Tafsir At-Thabari 22/456 oleh Imam At-Thabari ada menyebutkan riwayat yang mursal dari Qatadah (ulama tabi’in), beliau berkata telah sampai kepada kami bahawa suatu hari Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda di hadapan para sahabatnya, “Tahukah kamu apa itu Baitul Makmur?” jawab sahabat: Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu”. Lalu beliau menjelaskan, “Baitul Makmur adalah bangunan masjid di langit, tepat di bawahnya adalah Kaabah. Andai masjid ini jatuh, pasti mengenai Kaabah.”

Antara masjid yang paling dimuliakan oleh kaum Muslimin di seluruh dunia sudah pastinya Masjidil haram, dan dua lagi masjid yang disebut dalam hadith iaitu Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa. Terdapat banyak keistimewaan masjid-masjid tersebut. Semoga kita semua menjadi salah seorang tetamu-Nya suatu hari nanti.

Comments are closed.