Pergolakan Syria, Dunia Sekadar Membisu, Dimanakah Peranan Kita Sebagai Seorang Muslim?

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Akan dibuka pada kalian Syam, yang berada padanya sebuah tempat yang disebut Ghutah, iaitu Damsyik yang merupakan sebaik tempat kediaman muslimin ketika hari peperangan”.

0
14999

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Akan dibuka pada kalian Syam, yang berada padanya sebuah tempat yang disebut Ghutah, iaitu Damsyik yang merupakan sebaik tempat kediaman muslimin ketika hari peperangan”. (Hadith direkodkan Imam Ahmad, Kitab Musnad Ahmad, No 22323)

Kini Syria bukan lagi tempat yang aman dan selamat. Betapa banyak nyawa tergadai, betapa banyak kediaman ranap, betapa banyak tanaman musnah, hospital-hospital kehabisan ubat, bekalan makanan sudah terputus, anak-anak menjadi yatim piatu, isteri-isteri menjadi balu, ibu ayah yang sedih pilu kehilangan insan tersayang. Dunia hanya sekadar membisu dengan penderitaan mereka. Masih ada harapankah buat mereka?

Setiap hari negara mereka dihujani dengan bom-bom dan peluru, ibarat pertunjukan bunga api. Tidak tahu ajal siapa yang bakal dijemput, setiap hari mereka menjalani hari-hari mendatang dengan sentiasa bersedia untuk kehilangan insan tersayang dan mati syahid. Allahurabbi!

Dimanakah perikemanusiaan? Dimana rasa belas kasihan? Sebagai seorang muslim, adakah kita hanya sekadar melihat penderitaan mereka? Dimana peranan kita pada saat ini? Ayuh, sama-sama kita bersatu hati untuk saudara kita disana.

  1. Mendoakan saudara kita disana

Muslim sesama muslim adalah bersaudara. Maka, berdoa untuk saudara kita disana bukan sekadar menyatakan sokongan tetapi juga tanda kasih kepada mereka. Doa senjata utama seorang mukmin, ia tanda kebergantungan kita kepada Allah s.w.t.

 

Daripada Safwan bin Abdillah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)” (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim, Kitab Sahih Muslim, No 4914)

 

Hadith di atas menerangkan doa seseorang muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Perbanyakanlah doa buat saudara kita disana, mereka tidak memerlukan kita berjihad bersama mereka, cukuplah doa dan sokongan.

 

  1. Menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan keperluan.

Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Kau melihat kaum mukminin dalam kasih sayang, rasa cinta dan saling membantu sesama mereka seperti sebuah jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, anggota lain pun tidak boleh tidur dan merasa demam”. (Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari, Kitab Sahih Bukhari, No 6011)

Mereka sangat memerlukan bantuan makanan, pakaian, ubat-ubatan dan lain-lain keperluan untuk meneruskan hidup. Kita boleh memberikan bantuan kewangan kepada agensi-agensi yang dipercayai untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan disana. Contohnya, Muslim Care Malaysia.

Sumber gambar: Mind Blowing Facts
  1. Menyebarkan berita sebenar tentang apa yang berlaku di Syria.

Sekalipun kita tidak mampu untuk membantu bersama-sama mereka disana, sebarkan berita sebenar yang telah berlaku di bumi anbiya’. Sebarkan kekejaman dan ketidak adilan yang telah berlaku terhadap saudara kita. Walau bagaimanapun, sebelum kita menyebarkan segala sesuatu pastikan maklumat yang ingin disebar adalah benar. Ini kerana banyak berita palsu dan berita yang diputar belitkan disebarkan oleh media yang menyokong pihak musuh.

 

Bukalah hati, bukalah minda, bukalah mata duhai insan, lihatlah sekeliling mu, pandanglah dengan mata hati, ambil tahu tentang umat kini.

Dunia semakin tenat kerana tangan-tangan manusia durjana. Manusia yang semakin tipis belas kasihan, tidak ada kasih dan sayang.

Sudah sampai masanya umat Islam menginsafi diri dan kembali kepada Sang Pencipta.