4 Adab Menuntut Ilmu Dalam Surah Al-Kahfi Yang Mungkin Ramai Tidak Tahu

Sinonimnya, apabila menyebut tentang surah Al-Kahfi, terlintas di fikiran kita tentang kisah pemuda-pemuda gua bukan? Tetapi mungkin ramai tidak tahu banyak pengajaran di dalam surah ini.

0
37074

Kita beramal membaca Surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. Sinonimnya, apabila menyebut tentang surah Al-Kahfi, terlintas di fikiran kita tentang kisah pemuda-pemuda gua bukan? Tetapi mungkin ramai tidak tahu banyak pengajaran di dalam surah ini. Antaranya, adab-adab menuntut ilmu. Pengajaran yang tersirat disebalik kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s. Jom, sama-sama kita tadabbur Surah Al-Kahfi!

  1. Tidak merasa diri yang paling tahu

Menurut Ibnu Abbas, Ubay Bin Kaab menceritakan bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya pada suatu hari, Nabi Musa berdiri di khalayak Bani Israil lalu beliau ditanya,

“Siapakah orang paling berilmu?”

Jawab Nabi Musa, “Aku”

Lalu Allah s.w.t menegur Nabi Musa dengan firmannya, “Sesungguhnya disisi-Ku ada seorang hamba yang berada di pertemuan lautan dan dia lebih berilmu daripada engkau. (Direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Al-Fadhail, Bab Min Fadhail Al-Khadir Alaihi Salam, no hadith 170, daripada Ibnu Abbas, status hadith sahih)

 

“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada temannya: Aku tidak akan berhenti sehingga aku bertemu dua laut itu, atau aku berjalan terus bertahun-tahun”. (Surah Al-Kahfi, ayat 60)

 

Ayat Al-Quran dan hadith di atas menceritakan kisah Nabi Musa a.s yang mengaku orang paling berilmu sedangkan Allah s.w.t lebih mengetahui siapa hamba-Nya yang paling berilmu. Teguran daripada Allah kepada Nabi Musa a.s mencetuskan keinginan yang kuat untuk mempelajari ilmu dari Hamba Allah tersebut.

 

Pengajarannya adalah jangan terlalu yakin atau berbangga dengan ilmu yang kita miliki, kerana itu semua milik Allah s.w.t. Apabila kita pakar di dalam sesuatu bidang, jangan memandang rendah kepada ilmu lain dan bersedia untuk mempelajari daripada orang yang lebih tahu.

 

  1. Bersabar dalam menuntut Ilmu

“Ia menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?” (Surah Al-Kahfi, ayat 72)

Bersabar dalam menerima ilmu daripada guru kerana guru lebih mengetahui baik dan buruknya sesuatu. Setiap suruhan atau larangan guru, kita mestilah mematuhinya dengan penuh sabar dan menerimanya dengan sepenuh hati.

 

  1. Mematuhi arahan guru

“Ia menjawab: Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”. (Surah Al-Kahfi, ayat 70)

Di dalam kisah ini, Nabi Musa a.s tidak mematuhi arahan gurunya Nabi Khidir a.s supaya tidak bertanya apa-apa soalan sehingga beliau memberitahunya sendiri. Adab menuntut ilmu, kita tidak boleh memotong percakapan guru ketika mengajar kerana dianggap tidak menghormati guru.

 

  1. Bersangka baik kepada guru

“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami, yang Kami berikan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya satu ilmu; dari sisi Kami”. (Surah Al-Kahfi, ayat 65)

Walaupun pada dasarnya kita melihat buruk tindakan guru atau tidak elok pada pandangan kita. Sentiasalah husnu zhon terhadap guru kerana guru lebih berilmu dan berpengetahuan.

Kisah Nabi Musa a.s dan Khidir a.s telah dinukilkan dalam surah Al-Kahfi ayat 60-82. Islam memberi kedudukan yang sangat istimewa kepada guru. Justeru, sebagai seorang pelajar menghormati guru adalah tuntutan utama dalam menuntut ilmu supaya mendapat keberkatan daripada setiap ilmu yang kita pelajari.