3 Sebab Mengapa Rasulullah Menyuruh Kita Menutup Majlis dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Wal-Asr?

“Kita sudahi majlis ini dengan bacaan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr”, kata pengerusi majlis selepas tamat dari majlis.

3
3089

Ucapan ini sering kita dengar selepas tamat majlis, program, seminar dan sebagainya.

Kenapa kita perlu baca Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr selepas tamat majlis?

1. Dihapuskan dosa.
Abi Jabir bin Mat’am melaporkan, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Sesiapa yang membaca

سبحان الله و بحمده سبحانك اللهم و بحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك و أتوب إليك

selepas majlis, dihapuskan dosa keatasnya.”
(Hadith ini direkodkan oleh Hakim al-Naisaburi dalam Mustadrak al-Naisaburi, kitab Doa dan Takbir, juz 1, no hadith 1970 dan status hadith sahih mengikuti syarat Muslim tetapi tidak dikeluarkan dalam Sahih Muslim).

Jelaslah, dalam hadith ini, Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita membaca Tasbih Kaffarah untuk dihapuskan dosa selepas majlis. Sepanjang kita berada di dalam majlis mungkin kita ada melakukan dosa secara sedar ataupun tidak sedar.

2. Surah Al-Asr menerangkan erti kerugian.
Meneroka pengertian Surah Al-Asr, Imam Syafie menyatakan bahawa sekiranya tiada surah lain diturunkan, memadai surah ini diturunkan kerana di dalamnya terkandung pengajaran yang besar. Surah ini menerangkan tentang manusia yang sentiasa berada dalam kerugian.
Al-Nabusi mengajak kita berfikir apakah yang dimaksudkan dengan kerugian? Dalam perniagaan, kerugian didefinasikan sebagai hasil yang kurang dari modal. Dalam kehidupan, kerugiaan adalah individu yang menggemblengkan masa dan tenaga tetapi tidak menghasilkan sesuatu.

3. Surah Al-Asr menerangkan erti penjanaan.
Surah Al-Asr bukan sekadar mengajar kita tentang masa, tetapi penjaan hasil iaitu perahan masa yang kita habiskan sehingga menghasilkan sesuatu. Asr ini mirip dengan perkataan Asir, perkataan bahasa Arab yang bermaksud perahan jus buahan yang menghasilkan minuman yang enak.

Dengan ini, benarlah kata-kata Imam Syafie tadi bahawa memadai dengan surah ini, telah lengkap pengajaran. Pengajaran yang memberi implimentasi iaitu menghasilkan tindakan dari mutiara yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, majlis yang kita sudahi dengan Surah Al-Asr itu akan mengigatkan kita tentang tindakan seterusnya yang membuahkan hasil. Kebiasaannya selepas majlis kita pasti akan minum teh tarik dan borak kosong sahaja.


Konklusinya, jom kita sama-sama amal amalan yang mudah ini, selepas majlis terus baca Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr. Sambil baca, kita hayati makna setiap bait bacaan kita. Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Jom baca, hayati dan amal.

 

BONUS UNTUK PEMBACA:

1) Kadang-kadang kita dengar ada yang menyebut bacaan Tasbih Kifarah bukan Tasbih Kaffarah. Hal ini menimbulkan tanda tanya kepada kita Tasbih Kifarah ke Tasbih Kaffarah?
Jom kita fahami makna Tasbih Kifarah dan Tasbih Kaffarah.
Kifarah bererti balasan Allah s.w.t. ke atas hambaNya yang mukmim ketika hidup di dunia akibat
dosa-dosa yang dilakukannya.
Kaffarah pula bermaksud menutup dari segi bahasa (Al-Kafru). Dinamakan kafarah kerana menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah s.w.t.
Dari sudut istilah pula Kaffarah ialah perbuatan seperti bebaskan hamba, sedekah dan puasa yang boleh menghapus dosa dengan syarat-syarat tertentu. Kaffarah dilakukan atas faktor kecuaian manusia dalam tindakannya.
Kedua-dua perkataan ini memberi makna yang berbeza.
Perkataan Kifarah digunakan ketika ditimpa sesuatu musibah ataupun ujian dari Allah s.w.t. seperti kaki terluka akibat jatuh basikal, kena langgar dengan lori dan sebagainya. Luka ataupun musibah yang terjadi itu adalah Kifarah dari Allah s.w.t. atas sebab dosa-dosa yang lalu samada kita sedar ataupun tidak sedar.
Oleh itu, kita sepatutnya menyebut
Tasbih Kaffarah, iaitu
tasbih penghapus dosa.
Mari sama-sama kita biasakan diri menyebut yang betul.
2) Imam Syafie ialah pengasas Mazhab Syafie.
3) Al-Nabusi ialah seorang penyair dan penulis dari Syria.

3 KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here