Anda Stres? Jangan Risau, Ikuti 5 Amalan Psikologi Menurut Al-Quran dan Hadis yang Boleh Menjamin Kebahagiaan.

2
1521

 

Sebelum bergerak jauh, apa itu stres sebenarnya? Stres adalah tekanan perasaan iaitu gangguan emosi disebabkan sesuatu beban yang menimpa seseorang. Apabila berlaku stres, badan menghasilkan hormon adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih laju, pernafasan lebih kencang dan tekanan darah meningkat.

Seperti yang kita tahu, kehidupan ini tidak sentiasa mudah dan tidak selalu manis sepertimana yang kita harapkan. Kadang-kadang kita berasa bahagia dan kadang-kadang kita berasa sedih.

Menurut kajian, pendekatan fleksibiliti psikologi yang baik adalah kunci utama kebahagiaan. Jadi, kita harus berusaha menjadi kuat dengan mengamalkan 5 amalan psikologi ini menurut Al-Quran dan hadith yang boleh menjamin kebahagiaan kita.

1) Elakkan Perbandingan

Di dunia ini, Allah s.w.t. mencatatkan rezeki kejayaan yang berbeza-beza untuk setiap insan. Ada yang rezekinya melimpah ruah dan ada yang biasa-biasa sahaja. Semuanya sudah diatur oleh Allah s.w.t. Seharusnya kita lebih memfokuskan diri dengan segala kejayaan kita yang lebih memberi kepuasan berbanding mengadakan perbandingan dengan insan yang lain.  Kita seharusnya lebih fokus dengan kejayaan yang memberi makna berbanding membuat perbandingan dengan insan lain.

Allah s.w.t. menyatakan dalam surah Taha, ayat 131:
“Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua- dua matamu dengan keinginan kepada apa yang sudah Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

Firman Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w.: Jangan kamu terpedaya dengan segala kesenangan yang sudah diberikan kepada kaum Musyrikin dan orang-orang yang serupa dengannya. Hal ini kerana, kesenangan yang mereka peroleh hanya bersifat sementara dan semuanya itu adalah ujian buat mereka. (Tafsir Ibnu Katsir)

2) Sentiasa Berasa Bahagia dan Sentiasa Senyum.

Orang yang bahagia sentiasa melihat peluang dan kejayaan. Apabila melihat masa depan, fikirannya sentiasa optimis, dan apabila mengimbas kembali kenangan yang lepas, mereka mengambil pengajaran dan berusaha perbaiki segala kekurangan.

Senyum mampu menaikkan aura dan adalah daya tarikan bagi seseorang.

Senyum mampu menaikkan aura. Ia adalah daya tarikan seseorang individu.

Rasulullah s.a.w. berkata: “Senyum kamu di hadapan saudara kamu bersifat sedekah bagimu.” (Hadith direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, kitab kebaikan, no 1956.)

Sheikh Ibnu Baaz berkata, wajah yang sentiasa tersenyum menunjukkan kualiti dan hasil hidup yang baik. Ia juga menunjukkan hati seseorang itu bebas daripada prasangka yang buruk. Ini secara langsung mengeratkan lagi hubungan sesama insan.

3) Sentiasa Bersenam

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلَا تَعْجَزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. menyatakan:“Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah, namun pada masing-masing (dari keduanya) ada kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang berguna bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah, dan jangan menjadi lemah. Jikalau kamu ditimpa sesuatu, jangan berkata sekiranya aku berbuat begini, maka akan begini dan begitu, tetapi katakanlah Allah sudah mentakdirkan, dan kehendak oleh Allah pasti dilakukan. Sebab kata ‘sekiranya’ itu dapat membuka perbuatan syaitan.” (Hadith direkodkan oleh Muslim, No 2664, Kitab Al- Qadr.)

4) Meluaskan Pergaulan dan Berakhlak Mahmudah.

Orang yang bahagia lebih cenderung memiliki keluarga, sahabat dan perhubungan yang menyokong kehidupannya.

Allah s.w.t. berkata, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;.”

5) Mengamalkan Sikap Berterima Kasih.

Setiap insan mesti mengamalkan dua perkataan ini, iaitu terima kasih. Ucapan ini mampu memberi ketenangan kepada orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda:“Sesiapa yang diberikan kepadanya satu perbuatan kebaikan, dia membalasnya dengan mengatakan “Jazakallahu Khairan” (Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Hal itu cukup dalam menyatakan rasa syukurnya.” (Hadith direkodkan oleh At-Tirmizi, kitab kebaikan, no 2035.)

Akhir sekali, menurut perspektif Islam, untuk menangani stres ini seseorang itu hanya perlu sentiasa berwuduk dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan melakukan ibadah-ibadah fardhu dan sunat. Bertepatan dengan apa yang Allah s.w.t. katakan di dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 iaitu “Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang…

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Yakinlah pada Allah s.w.t, nescaya Dia pasti membantu kita. Insya-Allah.

 

2 KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here