Penggunaan Media Sosial, Benarkah Wanita Mudah Dipengaruhi?

310
1480

Media sosial
Media sosial ialah perantaraan untuk berhubung antara satu sama lain. Dengan menggunakan jaringan internet, para pengguna dapat berinteraksi, berkongsi idea dengan lebih mudah.

Dipetik dari Utusan Online, sebanyak 80 peratus daripada 24.1 juta pengguna internet di Malaysia ialah pengguna media sosial. Antara media sosial yang popular kebelakangan ini seperti Facebook, Instagram, Twitter, Whatsapp dan banyak lagi.

Menurut Menteri Komunikasi dan Mutimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Keruak, secara purata pengguna di Malaysia mempunyai empat akaun media sosial dalam satu masa. Kebanyakan akaun-akaun ini digunakan untuk berinteraksi dan mendapatkan maklumat.

Pengaruh media sosial kepada wanita
Kenapa wanita seringkali dikaitkan dengan media sosial? Bagi wanita, media sosial ialah salah satu cara untuk menambah maklumat tambahan. Dengan menggunakan media sosial juga, golongan ini dapat menjana sumber pendapatan dengan berniaga secara atas talian. Semua ini boleh dilakukan di rumah dengan sangat mudah!

Walaupun secara umumnya, media sosial memberikan impak positif kepada sesetengah pengguna, namun ada beberapa kesan sampingan yang harus diberi perhatian. Kali ini kita akan lihat apakah kesan dan pengaruh media sosial terhadap wanita. Adakah laman sosial mempengaruhi wanita? Bagaimana pengaruhnya?

Berlebihan dalam bersosial
Kini segala-galanya di hujung jari. Dengan menggunakan laman sosial, kita akan mendapat kenalan yang ramai dari seluruh pelosok dunia tanpa sebarang sekatan. Sesiapa sahaja boleh menghubungi di antara satu sama lain dengan lebih mudah.

Di samping itu, Islam juga menggalakkan serta meraikan umatnya bersosial. Tetapi harus ingat keadaan sosial yang bagaimana diterima syarak?

Yang pertama, bersosial bagi kerjasama melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat dan kebaikan. Seperti menjaga keselamatan sesuatu tempat dan mengurus program-program yang bermanfaat. Kedua, menjalinkan ikatan silaturrahim bersama masyarakat. Contohnya berjabat tangan ketika bertemu. Ketiga, menegakkan tauhid dan agama Allah s.w.t.. Ini bermaksud kita juga boleh berdakwah dan menyebarkan agama Islam kepada umum. Bagi yang bukan Islam, kita boleh menghormati dan menunjukkan teladan yang baik terhadap mereka.

Apa yang menjadi kerisauan di sini adalah bagaimana kita menjaga batas-batas pergaulan di laman social? Khususnya para wanita. Jika kita perhatikan di laman sosial sekarang, ramai di kalangan wanita kurang cakna mengenai batas pergaulan.

Lihat sahaja di dalam Facebook, berapa banyak para wanita membalas komen di status lelaki. Itu belum kira kandungan komen tersebut. Ada juga yang menggunakan kata-kata yang kurang sedap didengar. Belum lagi menyentuh isu pergaulan di dalam kumpulan yang dicipta melalui aplikasi Whatsapp, Wechat dan seumpamanya. Kebanyakannya wanita yang terlalu mengabaikan batas-batas pergaulan.

Tonjol kecantikan
Firman Allah s.w.t. kepada seluruh wanita yang beriman,

“Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menjaga pandangan mereka (daripada perkara yang diharamkan dan memelihara kehormatan mereka, serta janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung mereka.” (Surah An-Nur, ayat 31)

 

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berpandangan bahawa muka bukanlah sebahagian daripada aurat. Tiada ulama yang mengatakan muka adalah aurat. Kecuali apa yang direkodkan oleh Imam Ahmad. Namun kesahihannya tidak diketahui dan sebahagian ulama mazhab ulama mazhab Syafie sependapat dengannya.

Bagi seorang isteri, kecantikannya hanya layak dipamerkan kepada suami dan keluarganya sahaja. Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, Allah s.w.t. melarang sekeras-kerasnya wanita yang mendedahkan aurat. Apatah lagi dipertonton di laman sosial yang mungkin dapat dilihat seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial juga boleh dicetak dan disalahguna oleh pihak tertentu. Banyak kes yang melibatkan salah guna gambar yang dicuri di media social dilaporkan.

Kebelakangan ini, kita dapat saksikan banyak wanita memuat naik gambar mereka dengan pelbagai gaya. Ada juga gaya yang berbaur seks walaupun bertudung. Ini adalah sangat tidak bermoral. Biarpun mendapat keizinan dari suami dan keluarga perbuatan ini tetap satu dosa!

Ghibah dan fitnah
Firman Allah s.w.t. bermaksud:

“Hai orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan suatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 6)

Menggunakan media sosial adalah harus. Mungkin juga jatuh kepada haram jika disalahguna. Pengguna haruslah mengikut adab dan akhlak yang Islam anjurkan.

Mengumpat, berbohong dan memfitnah dalam media sosial adalah sangat dilarang oleh agama kita. Jadi, berhati-hatilah berkongsi maklumat mahupun berkomunikasi di laman sosial.

Kita perlu beringat apa sahaja perkara remeh yang kita kongsikan dan kita tulis di media sosial amat besar di sisi Allah s.w.t. sama ada diterima ataupun dimurkai. Pada zaman teknologi yang serba canggih ini, cara mengumpat juga menjadi semakin moden. Bukan sahaja boleh mengumpat di belakang sahabat itu, malah boleh pula membuka kedai kopi di laman sosial menceritakan tentang aib dan keburukan seseorang itu.

Ada hubungan yang boleh retak akibat umpatan dan fitnah. Sebagai contoh hubungan mertua menjadi tidak rapat disebabkan menantu mengumpat di laman sosial. Hubungan persahabatan tidak seakrab dulu kerana fitnah sahabatnya di Facebook. Ada juga kes penceraian disebabkan membuka aib pasangan masing-masing di media sosial.

Justeru kita sebagai umat Islam lagi-lagi wanita muslimah haruslah berusaha menjaga lisan, kerana lisan itu lebih tajam dari mata pedang. Ianya bukan sahaja boleh melukakan hati seseorang, malah boleh memutuskn silturrahim.

Gunalah media sosial sebaiknya
Sepertimana yang kita tahu, teknologi ini ada baiknya khususnya media sosial. Namun, kesan-kesan negatif juga sangat banyak sehingga mendatangkan banyak keburukan. Tidak kira terhadap individu mahupun persekitaran, keburukan ini pasti mengganggu kesejahteraan hidup. Kita di sini bukanlah hendak menafikan penggunaan media sosial. Cuma perlulah untuk kita berjaga-jaga dalam menggunakannya. Kepada para wanita, gunalah media sosial ini baik-baiknya.

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here