Realiti Wanita Kini: Bagaimana Mengurus Stres Mengikut Islam?

0
8448

Realiti dunia kini memerlukan wanita untuk melengkapkan kehidupan seharian. Di dalam buku Manusia Dan Islam ada menyebut,

Orang yang paling layak mengubat pesakit perempuan adalah doktor perempuan, orang yang paling layak mengajar kanak-kanak dan pelajar perempuan adalah tenaga pengajar perempuan, orang paling layak muhasabah menjadi jururawat adalah wanita.

Di dalam Islam, tiada larangan mahupun tegahan bagi wanita untuk bekerja untuk mencari rezeki yang halal asalkan menepati kehendak syarak.
Firman Allah s.w.t,

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah Allah sebanyak mungkin dalam setiap keadaan, supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 10)

Tetapi tahukah kita, bahawasanya wanita ini seringkali dikaitkan dengan kegagalan mengurus stres. Benar, setiap individu yang bergelar manusia itu tidak boleh lari daripada stres. Akan tetapi apa yang membezakan adalah bagaimana kita mengawal dan mengurus stres tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia di dalam laman web MyHealth menerangkan, stres juga boleh dikenali sebagai gangguan emosi, proses pemikiran dan keadaan fizikal seseorang. Ia juga melibatkan keadaan tindak balas seseorang yang disebabkan oleh perasaan takut, gelisah dan terancam. Apabila seseorang itu merasa gelisah, badan akan menghasilkan adrenalin dan cortison di mana akan menyebabkan degupan jantung dan pernafasan menjadi lebih laju. Tekanan darah juga turut meningkat.

“Sayang, di manakah kunci kereta saya?”
“Ibu, saya lapar.”
“Awak perlu menghantar proposal ini hari ini juga.”

Bagi seorang wanita, situasi di atas pasti pernah berlaku bukan? Bagi wanita yang belum berumah tangga, situasi ini pasti akan berlaku juga. Jika tidak pada anda, mungkin teman terdekat anda.

Statistik mendapati wanita menduduki bilangan paling tinggi yang menghidap tekanan stres. Apa tidaknya wanita-wanita ini perlu menguruskan segala macam hal. Adakalanya mereka terpaksa menguruskan secara bersendirian. Seperti tanggungjawab terhadap suami, anak dan majikan. Bukan sehari, malah telah pun menjadi rutin harian. Ngeri bukan? Tetapi itulah hakikat tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul dan dihadap sehari-hari.

Terdapat pelbagai solusi yang mungkin dapat membantu para wanita bagi mengawal dan mengurus stres. Ikuti tip-tip berikut:

1. Sabar
Orang tidak dapat mengawal kemarahan berisiko mengalami denyutan jantung yang tidak terkawal. Apabila keadaan ini berlaku, jantung mengepam darah secara tidak menentu dan pembekuan darah mudah berlaku. Oleh itu, jika kita menyedari diri dikuasai stress, cubalah untuk bersabar dan Tarik nafas dalam-dalam.
Allah s.w.t berfirman,

“…sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yangbersabar.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 151)

2. Berzikir mengingati Allah s.w.t.
Zikir bermaksud mengingati Allah s.w.t. dalam apa sahaja keadaan dan boleh dilakukan di mana sahaja. Dengan berzikir dapat menguatkan dan melembutkan hati dan dapat merangsang kejayaan.

“Wahai orang- orang yang beriman, banyak-banyaklah mengingati Allah dan bertasbihlah kepada-Nya pagi dan petang (iaitu pada setiap waktu).” (Surah Al-Ahzab, ayat 41-42)

Cubalah perhatikan ulama-ulama ataupun berdamping dengan orang-orang yang selalu berzikir, kita tidak akan nampak kesulitan diwajahnya. Namun, golongan ini sentiasa tenang bukan?

3. Membaca Al-Quran
Al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.. Al-Quran juga panduan utama umat Islam di seluruh dunia. Jika tidak berpegang dengannya, maka sesatlah arah tujuan hidupnya. Menurut Imam Nawawi, setiap kali seseorang mukmin itu membaca dan mengkaji kitab Allah, ruhnya akan bercahaya, dadanya akan lapang dan rahsia kehidupan mengalir ke dalam dirinya.

Oleh itu, sebagai wanita muslimah, kita seharusnya bijak menguruskan stres. Banyak lagi tip-tip yang boleh diamalkan selain di atas. Insha Allah pada entri akan datang, penulis cuba senaraikan lagi.