3 Sebab Mengapa Anak-Anak Perlu Kerap Menonton Televisyen! Pendidikan Visual Wacana Anak-anak Rabbani.

0
13005

Mutakhir ini, tidak dinafikan bahawa ledakan siaran televisyen menyusup keluar berlaku dengan sangat pantas. Pelbagai genre telah menjadi santapan kita tanpa mengira umur termasuk kanak-kanak. Seperti yang diketahui umum, siaran televisyen yang tersaji setiap hari adalah salah satu bentuk hiburan kepada kita. Hakikatnya Islam tidak meletakkan satu halangan dalam berhibur melainkan tidak berlebihan. Allah s.w.t. ada menyatakan:

Maksudnya: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baru tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (diatas mimbar- berkhutbah). Katakanlah (Wahai Muhammad:Pahala-balasan) yang ada disisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.

(Surah al-Jumuah, ayat 11)

Berbalik kepada siaran televisyen, kita tidak menidakkan di samping memberi impak negatif, terdapat banyak manfaat yang boleh kita rasai khususnya kepada kanak-kanak. Mengikut Akta Kanak-Kanak yang diluluskan pada tahun 2001, kanak-kanak di Malaysia ditakrifkan sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Berikut adalah antara manfaat-manfaat yang diperolehi kanak-kanak melalui siaran televisyen ini,

 

  1. Mengatasi masalah emosi

Emosi kanak-kanak adalah seperti kita juga. Adakalanya mereka memberontak jika tidak mendapat apa yang diingini. Dengan menonton siaran televisyen yang berlatarkan keceriaan, seperti animasi kartun-kartun yang comel, jiwa mereka akan lebih tenang dengan pergerakan visual lebih-lebih lagi pengaruh warna menarik. Emosi kanak-kanak lebih cenderung kepada keceriaan. Menurut salah seorang pakar kaunseling, Pn. Fariz Sakina Bt. Abdullah, Warna memainkan peranan yang amat besar dalam kehidupan seseorang.

Warna berkait rapat dengan spectrum dan ia adalah gelombang yang dikesan oleh pancaindera manusia. Setiap warna mempunyai makna yang tersendiri dan dipercayai boleh mempengaruhi tindak tanduk seseorang itu. Kata beliau lagi, warna kuning memberi kesan kegembiraan, ketenangan dan keceriaan dan seolah-olah ingin menimbulkan hasrat untuk bermain. Dengan kata lain warna ini juga mengandungi makna optimis, semangat dan ceria.

 

Jadi, tidak mustahil dengan menonton siaran televisyen boleh mengatasi masalah emosi kanak-kanak. Namun begitu, pemantauan daripada ibu bapa adalah penting supaya mereka tidak terdedah dengan unsur-unsur negatif kerana tanggungjwab sebagai ibu bapa adalah mengelakkan diri dan keluarga mereka dari segala keburukan. Allah s.w.t.  dalam Surah At-Tahrim, ayat 6 menyatakan:

 “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnnya, manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah s.w.t. dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

 

  1. Membangunkan akhlak

Pembangunan akhlak kanak-kanak boleh berlaku dalam pelbagai cara. Salah satunya adalah dengan menonton siaran televisyen. Seperti yang kita ketahui, terdapat banyak siaran televisyen yang cenderung kepada didikan akhlak yang baik. Sebagai contoh, siaran televisyen berbentuk dokumentari yang mana menunjukkan kebesaran Allah s.w.t. mampu membentuk peribadi kanak-kanak yang masih baru. Keagungan Allah s.w.t. boleh dizahirkan dalam bentuk siaran seperti ini supaya anak-anak kita boleh mengenal Allah sebagi pencipta. Nabi s.a.w bersabda :

 

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُشَرِّكَانِهِ

 

“Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah, maka Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Musyrik.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan melanggan siaran-siaran berbentuk mendidik akhlak seperti ini. Walau apapun kesannya, didikan ibu bapa sahaja yang akan memberi impak kepada anak-anak.

 

  1. Perkembangan otak berlaku

Fitrah kanak-kanak secara umumnya adalah golongan yang suka mencuba benda baharu dan mempunyai sikap ingin tahu terhadap sesuatu perkara. Persoalannya, bagaimana perkembangan ini berlaku hanya dengan menonton televisyen? Gambaran skrin yang visual sangat membantu untuk perkembangan mereka kerana Profesor di Jabatan Psikologi, Universiti Kansas, Amerika Syarikat, Prof. Dr. John Colombo berkata, sifat genius kanak-kanak sebenarnya boleh dibentuk melalui visual ini. Dalam waktu yang sama, mereka mampu menyelesaikan masalah dengan sangat baik.

 

Melalui siaran televisyen ini, perkembangan otak juga boleh berlaku apabila kanak-kanak boleh membayangkan bentuk visual yang dilihat di kaca televisyen dan mampu mengaitkan dengan alam semulajadi yang terbentang luas ini.

 

Namun begitu, di samping menjaga tahap penguasaan kanak-kanak dari segi intelektual, kewajipan-kewajipan muslim yang beragama tidak diabaikan. Justeru, teempoh masa menonton siaran televisyen oleh kanak-kanak perlu dihadkan agar tidak keterlaluan dan masih menjaga waktu-waktu solat.

Nabi s.a.w. bersabda :

“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka sekiranya enggan mengerjakan solat sedangkan mereka sudah berumur 10 tahun.”

( Direkodkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan AL-Hakim)

Kesimpulannya, sama ada kita sedar atau tidak, siaran televisyen yang berbentuk visual ini memberi manfaat yang mapan untuk kanak-kanak. Percambahan Intelektual, pembinaan sahsiah dan kestabilan emosi akan lebih menonjol dan sangat sesuai untuk kanak-kanak yang baru menginjak kaki dalam dunia pembelajaran.