Panduan Ringkas untuk Khusyuk dari Quran, Hadith dan Kalam Ulama

5
17341

Menurut Imam Ibn Qayyim, ulama Mazhab Hanbali khusyuk ialah hadirkan hati di hadapan Allah s.w.t. dengan penuh ketundukan dan peraaan hina diri. Khusyuk dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula ialah lakukan dan dengar sesuatu perkara dengan penuh minat atau sepenuh hati, ketika beribadah dirikan dengan bersungguh-sungguh, menumpukan perhatian dan minat yang sepenuhnya. Khusyuk di dalam ibadah terutamanya solat sukar dilakukan oleh kita. Ketika solat, fikiran kita terawang-awang ingatkan masalah-masalah yang dihadapi, menu makanan harian dan sebagainya. Solat yang khusyuk dan solat yang sah mempunyai dua perbezaan yang ketara. Solat yang khusyuk ialah solat yang yang berjaya menyentuh dan mendidik elemen dalaman manusia iaitu hati, akal dan nafsu. Persoalannya di sini, bagaimana khusyuk dalam menunaikan solat?

Abdullah r.a berkata, Kami memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. ketika baginda s.a.w. sedang solat, lalu baginda s.a.w. menjawab salam kami itu. Tetapi taktala kami kembali dari Raja Najasyi, kami memberi salam pula kepada baginda s.a.w. ketika baginda s.a.w. sedang mendirikan solat. Baginda s.a.w. tidak menjawab salam kami itu. Lalu kami tanyakan kepada baginda s.a.w., “Dahulu kami memberi salam kepada nabi s.a.w. ketika nabi s.a.w. sedang solat, nabi s.a.w. menjawab salam kami. Tetapi sekarang kenapa tidak?
” Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, “Sesungguhnya dalam solat harus ada suatu kesibukan yang sungguh-sungguh (khusyuk). (Hadith direkodkan Imam Muslim dalam Sahih Muslim, kitab masjid dan makanu sujud, bab tahrim kalam fi solah, no hadith 538). Jelas dalam hadith ini, nabi Muhammad s.a.w. ajar kepada kita untuk berusaha khusyuk di dalam solat.

Seterusnya, kita lihat tip-tip untuk khusyuk ketika solat. Tip ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah tip persedian mendirikan solat untuk mendapatkan khusyuk berdasar Al-Quran dan As-Sunnah. Kedua, tip yang digariskan oleh Imam Ghazali untuk mencapai khusyuk di dalam solat.
Pertama: Persediaan mendirikan solat untuk mendapatkan khusyuk berdasarkan                  Al-Quran dan As-Sunnah.

1. Solat tepat pada waktunya dan tidak terburu-buru.
Allah s.w.t berfirman dalam Surah An-Nisaak ayat 103 mafhumnya,

“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman,
yang tertentu waktunya”.

Ayat ini gambarkan kepada kita tentang waktu-waktu yang tertentu untuk kita mendirikan solat. Contohnya, waktu solat Subuh, waktu yang ditetapkan untuk mendirikan solat Subuh ialah bermula dari naik fajar sadiq sehingga terbitnya matahari atau dikenali sebagai syuruk ataupun lebih mudah kita boleh lihat e-solat untuk tahu tentang waktu solat mengikut sistem 24 jam. Apabila kita mengetahui waktu yang ditetap untuk kita dirikan solat, jadi kita tidak terburu-buru untuk kerja waktu solat bahkan kita akan rasa lebih khusyuk dan tenang dalam mendirikan solat.

2. Membersihkan diri dan bersugi

Abdullah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata, “Jikalau tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali wuduk.”
(Hadith direkodkan Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, bab Ma Jaa Fi Siwak, no hadith 1934).

Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang suruhan nabi s.a.w bersiwak. Siwak ataupun bersugi memberi impak yang sangat besar kepada kesihatan diri kita, hal ini dipersetujui oleh salah seorang hakim syarie di Universiti Karachi Pakistan, Profesor Abdul Hamid yang mengatakan bersiwak boleh membunuh sebanyak lima jenis kuman yang terdapat pada mulut kita. Mari kita bayangkan, semasa mendirikan solat berjemaah, tiba-tiba kita sedawa, sebelum mendirikan solat kita makan petai dan tidak bersihkan mulut, bayangkan betapa busuknya? Keadaan ini menyebabkan kita hilang khusyuk ketika solat.

3. Memakai pakaian yang bersih dan kemas
Memakai pakaian yang kemas dan selesa akan memudahkan khusyuk di dalam solat. Solat menjadi tidak khusyuk apabila kita memakai pakaian yang ketat, singkat, nipis dan sebagainya. Hal ini pasti akan menyebabkan kita terganggu, asyik terfikir bagaimana jika orang lihat badanku? Pelbagai persoalan yang akan bermain di fikiran kita. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 31 mafhumnya,

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat atau mengerjakan sembahyang.”

Firman Allah s.w.t. ini, jelas kepada kita supaya memakai pakaian yang elok ketika hendak menunaikan solat.

Kedua: Tip yang digariskan oleh Imam Ghazali, ulama besar dan pengarang kitab               Ihya Ulum al-Din untuk mencapai khusyuk di dalam solat ialah:

1. Hudhur al-Qlabi (hadirkan hati)
Hadirkan hati ialah berusaha untuk buang dari hati segala yang tidak ada kaitan dengan solat kita. Lebih mudah di sini ialah kita berusaha fokus dalam mendirikan solat, hindarkan diri dari gangguan hal-hal lain sehingga fikiran, perbuatan dan ucapan seiring. Kita usaha untuk focus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat. Keadaan ini samalah seperi orang yang sedang memandu kereta di jalan raya. Fikirannya tetap akan focus kepada destinasi yang hendak dituju walaupun sekali-sekala ternampak juga objek-objek dan pemandangan di tepi-tepi jalan.

2. At-Tafahhum (Memahami)
Setiap makna bacaan dan erti setiap perbuatan di dalam solat, perlu kita fahami maknan bacaannya. Misalnya, apabila kita mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah Al-Fatihah, makna setiap kalimat perlu diketahui satu persatu. Kita lihat “burung kakak tua”, burung ini hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu makna yang ditutur, jadi kita berusaha untuk mempelajari Bahasa Arab untuk memahami makna di dalam setiap solat dan menjauhi sikap “burung kakak tua”.

3. At-Ta’ziem (Merasai Kebesaran Allah)
Merasai kebesaran Allah dengan merasa diri kita ini kerdil di hadapan Allah s.w.t. Setiap ucapan yang kita lafazkan di dalam solat adalah perbualan kita dengan Allah.s.w.t. Contohnya, apabila kita ucapkan kalimah “Allahuakbar”, kita bukan sahaja dapat faham maknanya Allah Maha Besar, tetapi hadirkan hati untuk rasa betapa hebatnya kuasa Allah yang telah menciptakan diri kita, alam semesta, akhirat dan segalanya. Pada ketika itu, akan terpancar rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa kita yang tidak mungkin terjadi di luar waktu solat.

Kesimpulannya, khusyuk di dalam solat memang sukar untuk dilaksanakan. Namun, berpandu kepada tip-tip yang digariskan oleh Al-Quran, As-Sunnah serta tip dari Imam Ghazali mampu untuk kita berjaya mendirikan solat dengan khusyuk. Semoga dengan mendirikan solat secara khusyuk dapat menyetuh dan mendidik elemen dalaman kita suapaya menjadi manusia yang beriman kepada Allah dan berakhlak mulia di dunia. Solat yang khusyuk juga memberi impak kepada sistem keyakinan, pandangan hidup, asas nilai, sikap dan kelakuan seseorang. Hanya solat yang khusyuk mampu merubah rasa hati, gaya fikir, prinsip hidup dan sebagainya.

5 KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here