Mengapa Rumah Tangga Retak Kurang Dari 2 Tahun? Ini 5 Kewajipan Yang Sering Dilupakan pasangan Selepas berkahwin.

0
4561

Mutakhir ini, siaran televisyen sering menyajikan drama-drama Melayu berelemenkan romantik dan sweet tanpa kesedaran akan kewajipan pasangan itu sendiri. Namun, sedarkah kita akan kewajipan sering kita dilupakan? Hakikat tunjang asal yang tidak perlu dikesampingkan dalam membina keluarga sakinah adalah perkahwinan. Dasawarsa ini, ramai antara kita berpusu-pusu menyempurnakan sebahagian dari sunnah Rasulullah s.a.w. yang satu ini lebih-lebih lagi golongan muda. Apabila bercerita mengenai perkahwinan, secara tidak langsung pemikiran kita terus menjurus kepada tanggungjawab baru. Dengan kata lain, kita tidak akan lari dari anggapan bahawa tanggungjawab yang akan digalas oleh pasangan akan bertukar secara keseluruhannya.

Namun, sebenarnya kenyataan itu tidak tepat sepenuhnya. Hal ini kerana, kewajipan yang perlu dilaksanakan masih dengan tanggungjawab sama namun, peranan yang perlu dimainkan sedikit berbeza pada sebahagian tugas. Apabila kita fahami apa kewajipan yang Islam syariatkan, maka kita kekalkan ia dan cuba alihkan sedikit pada tugasan yang baru bersesuaian dengan status yang kita pegang, iaitu suami ataupun isteri.

Tidak dinafikan terdapat banyak kewajipan yang tersisih apabila berkahwin. Di bawah ini kita cuba audit 5 kewajipan yang mudah untuk kita lupakan setelah berkahwin.

  1. Menyambung Silaturahim.

Cara menyambung silaturahim bukan hanya dengan bertemu sahabat handai, kaum kerabat ketika kenduri perkahwinan sahaja. Ramai dari kita terlupa mengenai kewajipan menyambung silaturahim kedua-dua belah pihak sama ada suami mahupun isteri setelah berkahwin. Pernah kita mendengar kebanyakan dari kita menyebut apabila kita memiliki seseorang itu, kita juga turut memiliki ahli keluarganya. Kenyataan itu sangat tepat. Namun, ada juga yang berpendapat hak menyambung hubungan silaturahim tidak akan menjadi keperluan apabila orang tua kedua-dua belah pihak telah meninggal dunia. Sebenarnya tidak sama sekali. Rasululullah s.a.w. pernah bersabda:

 

لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنْ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

 

Terjemahannya: “Orang yang menyambung silaturahim itu, bukanlah yang menyambung hubungan yang sudah terjalin, akan tetapi orang yang menyambung silaturahmi ialah orang yang menjalin kembali hubungan kerabat yang sudah terputus”.

(Muttafaqun ‘alaih)

Berdasarkan sabda nabi di atas, nabi bukan sahaja menggalakkan supaya menyambung silaturahim dengan yang masih hidup malah hubungan yang terputus lama sekalipun wajib untuk kita sambung kembali.

Dalam Surah An-Nisa’ juga Allah menegaskan perihal ini pada ayat pertama yang berbunyi:

“Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. “

Secara praktikalnya, pasangan yang baru berkahwin perlu berkunjung ke rumah-rumah saudara-mara yang terdekat terlebih dahulu supaya mereka dapat mengenali ‘ahli baru’ dalam keluarganya.

  1. Tanggungjawab kepada ibu bapa.

Apabila kita bergelar sebagai seorang anak, tanggungjawab terhadap orang tua tidak seharusnya disisihkan. Hak-hak kepada ibu bapa juga tidak seharusnya dilupakan. Sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata : Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad : Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab : Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.

Tanggungjawab seseorang anak tidak tertumpu ketika hayat ibu bapanya sahaja, namun tanggungjawab yang perlu dilaksanakan akan sentiasa berterusan hingga akhir hayat kita. Persoalannya, bagaimana kita boleh tunaikan kewajipan terhadap ibu bapa yang telah meninggal dunia? Jawapannya ada pada sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah, Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Ada, iaitu berdoa, beristighfar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.”

(Hadith riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Kewajipan ini mesti dipupuk sejak awal perkahwinan lagi supaya rumah tangga yang dibina akan terus dinaungi keberkatan dari Allah s.w.t. Apa yang paling minimum yang boleh kita aplikasikan adalah dengan sentiasa prihatin terhadap kedua-dua orang tua di kedua-kedua belah pihak, sentiasa bertanya khabar tentang kesihatan dan sentiasa menerima nasihat yang diberikan.

 

  1. Tanggungjawab kepada mertua.

Tanggungjawab menantu terhadap mentua jarang dibincangkan secara terbuka. Bahan-bahan berkaitan isu ini juga agak terhad. Bagi sesetengah pihak, mungkin dianggap tidak penting. Apatah lagi perkara ini tidak disentuh secara spesifik dalam Al-Quran, Hadith dan perbincangan secara terbuka. Namun, sama ada kita sedar atau tidak, Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu/ibu mertua dan bapa/bapa mertua. Justeru, tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan oleh kita, khususnya menantu lelaki. Pengabaian terhadap mertua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumahtangga kita sangat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua.

Allah s.w.t menyatakan:

Dan sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan dengan-Nya sesuatupun, dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik, dan yang mempunyai tali kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan tetangga yang menjadi kerabat.

(Surah An-Nisa’, ayat 36)

 

Jika tanggungjawab ini diabaikan, keadaan isteri juga akan terjejas kerana melihatkan ibu bapanya sendiri tidak diberi perhatian oleh suami. Persoalan yang perlu difikirkan bersama adalah pengabaian seseorang menantu terhadap mertuanya sama juga dengan mengabaikan  tanggungjawab terhadap ibu bapanya sendiri.

 

Nabi Muhammad s.a.w. telah menekankan bahawa derhaka kepada orang tua adalah salah satu dosa besar setelah menyekutukan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Adakah kalian mahu jika aku beritahu tentang dosa-dosa yang besar?”. Para sahabat menjawab: “Kami mahu, ya Rasulullah s.a.w.” Rasulullah SAW bersabda: “menyekutukan Allah s.w.t. dan derhaka kepada orang tua”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

  1. Tanggungjawab menutup Aurat.

Perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap pasangan adalah kewajipan menutup aurat adalah wajib pada setiap masa sama ada lelaki mahupun wanita. Sesetengah daripada mereka seolah-olah memandang enteng perkara ini sedangkan dosa seorang isteri tidak akan selama-lamanya akan ditanggung oleh suami apabila suruhan menutup aurat tidak diambil cakna oleh isterinya.

Allah s.w.t. mengingatkan kita :

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.Yang demikian itu adalah sebahagian daritanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahanmereka selalu ingat”.

(Surah Al-A’raf, ayat 26)

Namun, ketika Memetik satu nasihat Dr. Izhar Ariff, “Jikalau kita melihat orang yang tidak memakai tudung, tidak menutup aurat jangan terus hukum dia kerana kita bukanlah penghukum tetapi pendakwah.

Justeru, kita jangan terus menghukum wanita yang tidak menutup aurat (tidak bertudung) ini dengan persepsi yang negatif kerana kemungkinan tiada penegasan dari pihak suaminya sendiri. Apa yang perlu direnungkan di sini adalah pengabaian terhadap aurat tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi selepas berkahwin kenara kita bakal bergelar permata hati anak-anak pada suatu hari nanti.

  1. Menghormati hak-hak peribadi ipar duai.

Dalam mengekalkan suasana rumah tangga sakinah, mawaddah wa rahmah ini, hak-hak peribadi ipar duai di kedua-dua belah pihak harus dijaga. Apabila membicarakan mengenai ipar duai, hak yang paling utama untuk diberi perhatian adalah hak aurat dalam kalangan ipar duai. Situasi ini perlu menjadi keprihatinan buka sebelah pihak sahaj, bahkan kedua-duanya harus memahami lebih-lebih lagi apabila pasangan  suami isteri tinggal sebumbung bersama ahli keluarganya yang lain.

Dalam waktu yang sama, barangan peribadi adik beradik ipar tidak boleh sewenang-wenangnya dicerobohi.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

لاَ يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بِطِيْبِ نَفْسٍ مِنْهُ

Terjemahan : “Tidak halal mengambil harta seorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.”

(HR. Abu Dawud dan Daruquthni, dishahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Shahihul Jami’ no. 7662)

Sebagai contoh, bilik tidur yang menjadi hak kepunyaan adik beradik ipar perlu dijaga hak peribadinya. Hal ini mampu mengelakkan dari terbukanya aib yang mereka jaga dari pandangan kita yang menjadi ajnabinya. Dengan kata lain, kita harus mengetahui sempadan pergaulan antara adik beradik ipar yang lain walaupun kita menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Kesimpulannya, kewajipan yang telah disebutkan tadi perlu diberi perhatian yang utuh kepada pasangan yang telah berkahwin. Usia perkahwinan itu tidak akan berpanjangan apabila tidak disertakan dengan mengamalkan panduan yang telah digariskan oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. dalam Al-Quran dan Sunnah.  Sekiranya kita telaah manjadi ahli baru dalam sesebuah keluarga, kita tidak seharusnya lari dari tujuan utama perkahwinan iaitu mencari mardatillah (keredaan Allah). Seperti mana yang kita tahu, perkahwinan itu sunnah, namun jangan biarkan ia punah dek kerana kewajipan yang kita telah abaikan.