Bagaimana Untuk Hidupkan Ilmu Walaupun Jasad Mati? 5 Tip Meraih Keberkatan Ilmu.

1
7714

“Menuntut ilmu adalah taqwa. Menyampaikan ilmu adalah ibadah. Mencari ilmu adalah jihad.”                                                                                               (Imam Al-Ghazali)

Memetik mutiara kata daripada Imam Ghazali di atas, beliau memberi definisi ilmu dengan pelbagai makna. Taraf orang berilmu boleh mencapai taraf orang bertakwa, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dan lebih dari itu, menyamai taraf orang berjihad. Apabila menperkatakan ilmu itu jihad, apa yang tergambar dalam fikiran kita adalah kesungguhan dalam menuntut ilmu adalah intinya yang utama. Namun, persoalannya yakinkah kita dengan ilmu yang kita tuntut turut diiringi keberkatan? Siapa pemberinya? Apa matlamat kita? Tidak lain tidak bukan, keredaan Allah yang menjadi matlamat utama kita.

Kita tidak akan beroleh apa-apa manfaat sekiranya tiada keberkatan dalam menuntut ilmu seolah-olah kita makan buah yang manis tapi tiada rasa manisnya. Kita boleh meraih keberkatan ilmu dengan mengamalkan lima tip ini supaya terjamin kehidupan di dunia dan di akhirat.

1 – Ikhlas Kerana Allah

Apabila berbicara tentang apa-apa amalan, kita tidak akan lari dari niat atau maqasid sebenar iaitu Ikhlaskan diri kerana Allah. Sama juga halnya apabila menuntut ilmu, asuh jiwa untuk ikhlas dalam menuntut ilmu. Setiap ganjaran dari amalan yang terlaksana  keseluruhannya bergantung kepada niat kita.

Apa yang ingin diraih di sini adalah keberkatan yang hakiki.  Daripada Amirul mukminin Abu Hafs, Umar Al-Khattab katanya : “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;

“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat pahala berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrah itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”

   (Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Maka berniat juga mencari atau menuntut ilmu untuk mendapatkan keberkatan dan keredaan dari Allah. Secara tidak langsung, Allah akan mempermudahkan urusan kita untuk mendapatkan ilmu tersebut. Sebaliknya jika inginkan pujian manusia dalam berilmu, keberkatan akan sukar untuk dicapai dan semakin lama semakin menjauh dari kita.

Allah juga menyebut di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Mujadalah yang mana bermaksud:

“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.”

    (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim)

2 – Beramal Dengan Ilmu Yang dipelajari

Kita sentiasa mendengar ilmu yang kita ada haruslah diamalkan dalam hidup seharian. Visi yang kita tuju adalah mendapatkan keberkatan. Namun, sekiranya tidak beramal dengan ilmu yang kita dimiliki, maka keberkatan ilmu akan berkurang. Bagaimana kita akan memperkatakan tentang keberkatan apabila semakin banyak ilmu yang dituntut, semakin jauh kita dari Allah. Cuba kita renungkan petikan kata-kata dari Syeikh Abdurrahman bin Qasim An-Najdi yang menyatakan:

“Amal adalah buah dari ilmu, ilmu itu dicari demi mencapai sesuatu yang lain, fungsi ilmu ibarat sebatang pohon, sedangkan amalan seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam seseorang harus menyertainya dengan amalan. Hal ini kerana orang yang berilmu akan tetapi tidak beramal dengannya lebih buruk keadaannya daripada orang bodoh.”

Justeru, amat penting bagi kita untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari lebih-lebih lagi berkaitan ibadah. Sebagai contoh, mendirikan solat merupakan fardu ain dan menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam. Namun, pelaksanaan solat tidak akan berjaya sekiranya kita tidak mempelajari bacaan-bacaan dalam solat dan cuba menghafalnya.

3 – Mengajarkan Ilmu kepada Orang Lain

Apabila kita beramal dengan ilmu yang dimiliki, ilmu tersebut harus mengalir sepertimana sungai membawa segala isinya hingga segenap alam. Sama juga halnya dengan ilmu. Ilmu yang diajar kepada orang lain akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak sama ada pengajar atau pelajar. Imam Ahmad mengatakan bahawa;

“Menuntut ilmu dan mengajarkannya lebih utama daripada berjihad dan amalan sunnah yang lain. Ini kerana ilmu adalah asas dan pokok kepada segala urusan, bahkan ianya merupakan ibadah paling agung serta kewajipan kolektif yang paling ditekankan. Bahkan dengan ilmu, Islam dan kaum muslimin tetap teguh.”

Bahkan Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda yang mana bermaksud,

“Sampaikan dariku walaupun hanya satu ayat”

(Hadith direkodkan oleh Bukhari)

Tuntutan nabi ini juga sekali gus boleh dijadikan pengajaran kepada kita dan menyedarkan kita bahawa setiap suruhan nabi ada keberkatannya sekiranya diamalkan. Cuba bayangkan hasil daripada ilmu yang kita ajarkan, orang lain juga akan mendapat manfaat? Pastinya ilmu tersebut akan diiringi keberkatan yang berterusan. Mengajar ilmu ini tidak hanya tertumpu kepada ilmu ukhrawi sahaja, namun ilmu duniawi seperti matematik, sains dan sebagainya juga akan diiringi dengan ganjaran dan keberkatan.

 

4 – Tidak Sombong Dengan Ilmu Yang Dimiliki

Petanda lain apabila ilmu yang dicari itu mendapat keberkatan di sisi Allah ialah tiada kesombongan walaupun sebesar zarah dalam diri penuntut itu sendiri. Hal ini kerana, kebanyakan dari kita menggunakan ilmu untuk mengejar populariti dan mengharapkan sanjungan daripada orang lain. Hal ini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam namun ia juga akan menjauhkan keberkatan dari Allah s.w.t.

Implikasi yang boleh dilihat apabila wujud kesombongan dalam menuntut ilmu adalah memberi penafsiran yang salah terhadap sesuatu ayat Al-Quran dan memesongkan makna-makna sebenar matan hadith Rasulullah s.a.w.

Bukti yang nyata boleh kita lihat melalui sejarah hidup Nabi Adam a.s. itu sendiri. Kesombongan iblis apabila diperintahkan untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. sangat memberi pengajaran kepada kita. Akhirnya, iblis hidup dalam neraka yang kekal selama-lamanya. Penyakit sombong ini adalah penyakit yang berbahaya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Begitu juga dalam menuntut ilmu. Sebagai contoh, kita menganggap diri kita serba tahu mengenai semua perkara dan menidakkan ilmu orang lain adalah petanda ilmu tidak berkat.

Allah berfirman yang bermaksud;

“Dikatakan (kepada mereka), ‘Masuklah pintu-pintu neraka jahanam itu, (kamu) kekal di dalamnya, ‘Maka (neraka jahanam) itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang menyombongkan diri.

                 (Surah Az-Zumar, ayat 72)

Apa yang perlu dijaga oleh kita dalam menuntut ilmu adalah sentiasa merendah diri dan tidak kedekut dalam berkongsi ilmu kepada orang lain. Semakin kita sombong, maka semakin jauh kita daripada Allah dan semakin hilanglah keberkatan ilmu yang akan kita miliki.

5– Menjaga Adab Dengan Ilmu

Satu hal yang paling penting juga untuk kita sedari mutakhir ini adalah dalam menjaga adab dalam menuntut  ilmu. Selain beradab kepada guru yang mengajar, adab kepada ilmu itu sendiri perlu juga dititikberatkan.

Contohnya bermula dari buku atau kitab itu sendiri. Kedudukan buku-buku mestilah diletakkan di tempat yang lebih tinggi.  Seterusnya, sama juga halnya ketika berada dalam kelas untuk mempelajari sesuatu ilmu. Kita perlu memberi perhatian yang selayaknya dan tidak membuat bising ketika berhadapan dengan guru.

Kesimpulannya, kita haruslah menjadikan keberkatan dalam mencari ilmu sebagai amal ibadah yang menguntungkan kita di akhirat kelak. Keberkatan yang diinginkan adalah berterusan supaya ada ganjarannya. Kita mesti perhalusi apa yang tercatat dari kata-kata Imam Syafie iaitu, “Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu harus menahan menanggung perihnya kebodohan”. Kata-kata itu kelihatan sedikit menyentap jiwa kita namun itulah yang menjadi matlamat kita dalam menuntut ilmu. Kepenatan yang bermakna dalam belajar adalah apabila turut diiringi dengan keberkatan.

1 komen

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here