Buli Pemusnah Masa Hadapan, Apakah Kesannya Kepada Mangsa?

0
53378

Kes buli semakin membarah di kalangan masyarakat. Saban tahun kes buli sentiasa terpapar di dada akhbar dan mendapat perhatian ramai pihak yang cakna tentang isu ini. Kebiasaannya, kes buli ini terjadi di sekolah sama ada sekolah menengah atau sekolah rendah dan melibatkan pelajar sekolah baik lelaki atau perempuan.

Buli bermaksud perbuatan mengasari atau mengugut orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan. Orang yang lemah mesti mematuhi arahan dan menghormati orang yang lebih kuat.

Islam melarang tegas perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri apatah lagi mudarat kepada orang lain.

Di dalam sebuah hadith sahih daripada Abu Hurairah r.a. beliau meriwayatkan dari Nabi s.a.w. baginda bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka. (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim, Kitab Sahih Muslim, No 2581)

Hadith di atas jelas menunjukkan ancaman terhadap perbuatan melakukan kejahatan ke atas makhluk. Malah, mereka tergolong di kalangan orang yang fakir miskin di akhirat kelak kerana perbuatan jahatnya itu.

Buli meninggalkan titik hitam yang besar di dalam hidup mangsa. Antara kesan buli ialah kesan mental dan fizikal.

Kesan mental: Mangsa mengalami masalah kemurungan. Jika tidak diatasi mangsa mungkin cuba membunuh diri kerana tertekan. Selain itu, mangsa juga menjadi seorang yang pendendam. Malah statistik yang pernah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat mendapati, kira-kira 71 peratus pelajar yang terlibat dalam insiden menembak di sekolah di negara itu pernah menjadi mangsa buli.

Kesan fizikal: Kesan-kesan fizikal ini melibatkan kecederaan pada anggota tubuh badan sama ada kecederaan kekal atau sementara. Malah, lebih parah lagi kecederaan sehingga mendatangkan kematian. Seperti kes pada tanggal 29 Mac 2004 seorang pelajar tingkatan empat di sekolah agama Negeri Sembilan mati akibat mengalami kecederaan yang serius di kepala, usus dan hati selepas dibelasah sekumpulan lapan pelajar senior di asrama sekolah itu. Sumber dipetik daripada akhbar Kosmo.

Rasulullah s.a.w. mendidik kita supaya sentiasa hormat menghormati dan saling berkasih sayang sesama manusia untuk melahirkan masyarakat yang harmoni. Suburkan hati dengan mengingati Allah s.w.t dan menjauhi larangannya.

Petikan kata-kata daripada Dr Zulkifli Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan. Hendaklah setiap mereka yang terlibat dengan perbuatan buli ini merasa insaf, bahawa setiap tindakan dan amalan kita di atas bumi ini akan dinilai oleh Allah S.W.T. Dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan Malaikat.