5 Persoalan Yang Patut Anda Tahu Tentang Surah Al-Fatihah, Buat Masyarakat AkanTerus Tenang.

0
12914

Ramai orang yang tidak tahu maksud sebenar Al Fatihah ialah pembukaan. Surah ini dinamakan sebagai Fatihul-Kitab,  bererti pembukaan kitab kerana kitab Al-Quran dimula dengan surah ini. Al-Fatihah bukanlah surah yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., namun ia mula-mula ditulis di dalam Al-Quran.

Terdapat beberapa persoalan dan permasalahan surah Al-Fatihah dalam kalangan masyarakat Malaysia.

1. Kaedah pembacaan ataupun cara membaca surah Al-Fatihah:
Terdapat tiga cara membaca al-Fatihah iaitu:

1.1. Rasulullah s.a.w. membaca ayat demi ayat sebanyak tujuh ayat bermakna baginda berhenti pada setiap hujung ayat. Dalil nabi s.a.w. membaca 7 ayat ialah

عن أبي هريرة قال سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم:يقول ( قال الله عن وجل قسمت الصلاة بيني وبين عبدي شطرين فنصفها لي ونصفها لعبدي ولعبدي ما سأل ). قال:فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم ( اقرءوا يقول العبد الحمد لله رب العالمين. فيقول الله عز وجل حمدني عبدي ولعبدي ما سأل. فيقول الرحمن الرحيم. فيقول أثنى علي عبدي ولعبدي ما سأل. يقول مالك يوم الدين. فيقول الله مجدني عبدي . فهذا لي. وهذه الآية بيني وبين عبدي نصفين . يقول العبد إياك نعبد وإياك نستعين يعني فهذه بيني وبين عبدي. ولعبدي ما سأل. وآخر السورة لعبدي. يقول العبد اهدنا الصراط المستقيم. صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين. فهذا لعبدي ولعبدي ما سأل

Dalam hadith ini Nabi Muhammad s.a.w.membaca surah Al-Fatihah sebanyak tujuk kali.

(Hadith direkodkan oleh Imam Ibnu Majah dalam Kitabnya Sunan Ibnu Majah, kitab adab, bab tawabul Quran, juz 2, nombor hadith 3784 dan statusnya sahih dari Syeikh Albani).

1.2. Bacaan Al-Fatihah menurut ulama Kufah iaitu membahagikan kepada empat bahagian bermakna membaca ayat satu yang dipanggil ayat mukadimah, manakala ayat dua disambung dengan ayat tiga dan empat dan dinamakan ayat puji-pujian.Ayat kelima yang dinamakan pengakuan/ikrar dibaca tanpa disambung dengan ayat terdahulu dan selepasnya manakala ayat keenam dan ketujuh disambung dan ia dinamakan ayat permohonan/doa.

1.3. Bacaan Al-Fatihah menurut ulama Basrah pula ialah membahagikan al-Fatihah kepada tiga bahagian iaitu ayat satu, dua, tiga dan empat disambung dengan digolongkan sebagai ayat-ayat puji-pujian, ayat lima yang dinamakan ayat pengakuan tidak disambung, ayat enam dan tujuh yang dinamakan ayat permohonan/doa pula dibaca bersambung.
Jika dilihat pada cara membaca al-Fatihah oleh ulama Kufah dan Basrah, kedua-dua adalah serupa iaitu ayat lima tidak dibaca bersambung dengan ayat sebelumnya atau disambung dengan ayat selepasnya walaupun ayat-ayat lain disambung.

2. Persoalan kedua, perlukah kita sedekahkan Al-Fatihah selepas mendengar berita kematian, adakah Nabi Muhammad s.a.w. anjurkan kita sedekah
Al-Fatihah?

Pak Cik Ahmad sudah meninggal semalam, kata Siti kepada Kak Embong. Marilah kita sama-sama sedekah Al-Fatihah kepada arwah.

Demikianlah ungkapan dan amalan masyarakat Malaysia apabila mendengar sesuatu berita kematian. Kita sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada jenazah ataupun arwah.
Sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w. kita mengajurkan kita untuk sedekahkan
Al-Fatihah apabila mendengar berita kematian tetapi baginda s.a.w. menggalakkan kita berdoa kepada orang mati. Hal ini dibuktikan dalam hadithnya:

Ummu Salamah melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata, “Apabila kamu menziarahi mayat maka katakanlah yang baik-baik. Sesungguhnya para Malaikat mencatat apa yang kamu katakan” Ketika Abu Salamah meninggal dunia, Ummu Salamah bertanya wahai Rasulullah apa yang patut aku katakana? Jawab baginda s.a.w, katakanlah Ya Allah, ampunkanlah dia dan berilah balasan yang baik kepadanya.
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Abu Daud dalam Kitabnya Sunan Abu Daud, no hadith 3115
dan statusnya sahih oleh Ibnu Hibban.)

Inilah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu mendoakan orang yang mati, bukannya membaca Al-Fatihah seperti yang kita amalkan hari ini. Tidak terdapat nas yang menyuruh kita membaca Al-Fatihah selepas kepada orang meninggal. Namun, kita bolehlah membacanya tapi diniatkan sebagai doa kepada orang mati.

3. Membaca Al-Fatihah tanpa tajwid, batalkan solat kita?
Al-Fatihah ialah satu surah yang menjadi rukun ataupun tiang solat, sama ada solat lima waktu ataupun solat-solat sunat. Jadi, segala solat tidak sah kalau kita tidak membaca Al-Fatihah. Hal ini, jelas disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.:

Abdullah bin Somid melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata, “Tidak solat bagi sesiapa yang tidak membaca Al-Fatihah.” (Hadith ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Kitabnya Sahih Bukhari, juz 1,
no hadith 756 dan statusnya sahih).

Persoalannya, bagaimana solat kita jika kita membaca Al-Fatihah tanpa tajwid?
Syeikh Al-Tantawi di dalam tafsirnya Al-Wasit menyebutkan bahasa membaca
Al-Quran dengan tartil ialah membaca dengan suara yang merdu, tadabbur dan membaca dengan sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj huruf, waqaf, hukum mad dan sebagainya. Jadi, bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan Al-Fatihah yang boleh mengubah makna dengan sengaja. Contohnya, kita baca (أَنْعَمَتُ), hakikatnya ialah (أَنْعَمَتَ), ini telah mengubah makna ayat tersebut, (أَنْعَمَتُ) ialah “Aku Kurniakan” dan (أَنْعَمَتَ), “Engkau Kurniakan”.

4. Persoalan keempat, adakah surah Al-Fatihah dapat menjadi penawar dan           penyembuh penyakit?
Apabila seseorang menghadapi sesuatu penyakit seperti pening kepala, sakit perut dan sebagainya, adakah cukup dia hanya perlu membaca surah Al-Fatihah? Al-Fatihah ialah surah yang mempunyai kelebihan tersendiri di dalam Al-Quran sehingga Nabi Muhammad menyebut,

“Dalam fatihahtul kitab ada penawar bagi setiap penyakit.” Hadith ini dilaporkan oleh Abdullah bin Umair. (Hadith ini juga direkodkan oleh Al-Darimi dalam kitabnya Sunan Al-Darimi,
bab kelebihan surah Al-Fatihah, no hadith 3370).

Namun, perlu diingatkan kita haruslah berusaha seperti berjumpa dengan doktor dan sebagainya di samping beramal dengan amalan ini.

5. Komen ulama tentang Surah Al-Fatihah:
• As-Shahid Hasan al-Banna, Pengasas dan ketua Ikhwanul Muslimin dalam risalahnya Mukadimah fi Tafsir berkata,

Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain dapat dilimpahi
cahaya pada hatinya.

• As-Shahid Syed Qutb, anggota Ikhwanul Muslimin dalam tafsirnya Fi Zilal al-Quran berkata:

Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiyah tasawwur Islami, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah pemilihan
surah ini pada setiap rakaat solat.

Kesimpulannya, surah Al-Fatihah ialah satu surah di dalam Al-Quran yang mempunyai keistimewaanya tersendiri. Kita ulang-ulang bacaannya setiap hari, sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam. Semoga setiap permasalahan dan persoalan yang sering bermain di minda masyarakat Malaysia terjawab. Jawapan-jawapan yang dihuraikan adalah bersandarkan kepada dalil Al-Quran, As-Sunnah dan kalam ulama.