10 Kelebihan Membaca Al-Quran Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

0
265865

Al-Quran adalah bahan bacaan sepanjang zaman bagi umat Islam, kemukjizatan Al-Quran tidak dapat disangkal lagi. Walau bagaimanapun, mungkin anda tidak tahu 10 kelebihan membaca Al-Quran yang direkodkan dalam hadith.

Al-Quran adalah petunjuk dan cahaya kepada manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran:

“Dengan Al-Quran itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (Surah Al-Maidah, ayat 16)

Kelebihan Al-Quran yang paling besar untuk sekalian makhluk ia tidak akan hilang dan berubah sehingga akhir zaman. Tidak seperti kitab-kitab lain yang telah diubah oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil yang diturunkan untuk Nabi-nabi terdahulu.

Allah s.w.t. berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah Al-Hijr, ayat 9)

 

Kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran Al-Karim:

  1. Al-Quran sebagai syafaat di akhirat kelak.

Daripada Abu Umamah r.a melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadith Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 252)

 

  1. Al-Quran sebagai pembela.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-Imran, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadith Nawwas bin Sam’an ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 253)

 

  1. Orang yang belajar dan mengajar Al-Quran adalah sebaik-baik amalan.

Daripada Uthman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadith Uthman bin Affan ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Fadhail Al-Quran, Bab Khairukum Min Ta’alum Al-Quran Wa A’lamahu, No hadith 5028)

 

  1. Dua pahala bagi orang yang susah menyebut dan membaca Al-Quran.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadith Aisyah r.a ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Tafsir Al-Quran, Bab An-Naba:18, No hadith 4937)

 

  1. Allah s.w.t. mengangkat martabat golongan pembaca Al-Quran.

Daripada Umar Bin Al-Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”. (Hadith Umar bin Al-Khattab ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)

 

  1. Membaca Al-Quran mendapat ketenangan.

Daripada Barra’ bin ‘Azib r.a. telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran”. (Hadith Barra’ r.a. bin ‘Azib r.a. ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Fadhail Al-Quran, Bab Fadhlu Surah Al-Kahfi, No hadith 5011)

 

  1. Membaca dan memperelokkan bacaan mendapat kebaikan.

Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘As r.a. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. (Hadith Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As ini direkodkan oleh Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, Kitab Tafri’ Abwab Al-Witr, Bab Istihbab At-Tartil Fil Qiraat, No hadith 1464, status hadith ini hasan sahih)

 

  1. Fasih membaca Al-Quran lebih layak menjadi imam solat Jemaah.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”. (Hadith Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)

 

  1. Setiap satu huruf membaca Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadith Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Ad-Darimi Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, Kitab Abwab Fadhail Al-Quran, No hadith 2910, status hadith ini hasan sahih)

 

  1. Memperelokkan suara dengan Al-Quran.

Daripada Al-Bara’ bin ‘Aazib, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hiasilah Al-Quran dengan suara kalian. (Hadith Al-Bara’ bin ‘Aazib ini direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamat As-Solat Wa Sunnah Fiha, Bab Fi Hasan As-Saut Bil Quran, No hadith 1342, status hadith ini sahih)

Hadith-hadith di atas menerangkan kelebihan membaca Al-Quran. Jadi, jelaslah Al-Quran bukan sahaja mukjizat tetapi memberi kelebihan kepada pembaca-pembaca. Membaca Al-Quran dengan memahami makna tersurat dan tersirat mampu menyentuh hati dan jiwa manusia bahkan jin juga terkesan dengan keindahan bait-bait ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika solat.