Bernikah itu Sunnah Rasulullah, Tetapi Mengapa Lelaki dan Perempuan Takut untuk Bernikah?

0
3870

Bernikah itu sudah terang lagi disuluh merupakan sunnah Rasulullah, tetapi mengapa masih ramai lagi lelaki dan perempuan takut untuk bernikah?

Manusia ketika usianya sudah sampai ke peringkat dewasa atau remaja, dia mempunyai keperluan baru yang tidak dapat dipenuhi oleh ibu bapanya. Pada peringkat ini, manusia memerlukan teman hidup yang mampu memenuhi keperluan hidupnya yang hanya dapat dipenuhi dengan sebuah ikatan perkahwinan yang sah.

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah Ar-Rum ayat 21

Firman Allah tersebut menjelaskan keperluan hidup manusia untuk bersama dengan insan yang berlainan jenis dengannya. Firman Allah ini turut ditegaskan oleh hadis Rasulullah s.a.w. menunjukkan betapa kerasnya anjuran kahwin ini bagi mereka yang tidak mahu berkahwin.

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Menikah adalah sebahagian daripada sunnahku, barang siapa tidak mengamalkan sunnahku, maka ia bukan termasuk golonganku, maka bernikahlah….” Sunan Ibnu Majah, Kitab Nikah, Bab Kelebihan Bernikah, No 1846, Status Hadith Hasan.

Tafsir Ibnu Kathir ayat 21 Surah Ar-Rum, di antara rahmat Allah kepada manusia adalah menjadikan pasangan-pasangan mereka dari jenis mereka sendiri bermakna bukan dari kalangan jin atau haiwan. Allah turut menghadirkan perasaan kasih sayang antara mereka.

Para ulama’ sendiri mempraktikkan sunnah bernikah dalam kehidupan mereka. Seperti mana

Imam Malik pengarang Kitab Al-Muwatta pernah berkata, “Sekiranya saya akan mati beberapa saat lagi, sedangkan isteri saya sudah meninggal, saya akan segera menikah.”

Ibnu Mas’ud r.a juga berkata: “Jika umurku tinggal sepuluh hari lagi, sungguh aku lebih suka menikah daripada aku harus menemui Allah s.w.t. sebagai orang bujang.” Kitab Ihya Ulumuddin, Bab Adab Nikah.

Akhir sekali, bernikahlah, kerana dengan bernikah, kita berjaya menghidupkan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. yang sangat bernilai.